SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri akan mengikut dasar kemasukan murid Tahun Satu seawal usia enam tahun di sekolah bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bermula sesi persekolahan tahun depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pelbagai persediaan sedang giat dilaksanakan termasuk mengoptimumkan penggunaan bilik darjah hingga 45 murid satu kelas.
“Selain itu, kita akan menyelaras data murid dan mengesan kawasan yang mempunyai penduduk padat, mengatasi isu kekurangan guru, menambah dan mewujudkan idea tiga sesi persekolahan mengikut kesesuaian.
“Kita juga bercadang menyediakan pembinaan infrastruktur tambahan seperti tambahan bilik darjah bagi menampung pertambahan murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh mengenai persediaan sekolah tahun satu di bawah JAIS pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Menurut Amirudin, JAIS menerima kira-kira 80,000 permohonan kemasukan Tahun Satu bagi sesi 2027, dengan unjuran kekurangan sebanyak 880 guru.
ADN Sungai Tua itu berkata, Kerajaan Negeri bersedia menambah bilangan guru berdasarkan keperluan serta kemampuan kewangan semasa.
“Setakat ini, saya belum lagi terima daripada JAIS berapakah keperluan tambahan yang diperlukan untuk pengoperasian bagi 2027 dan itu semua akan dirangkumkan dalam Belanjawan 2027 hujung tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan keselamatan semua bangunan sekolah di bawah JAIS sentiasa dipantau dan bantuan akan disalurkan sekiranya diperlukan.
Amirudin turut memaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan tambahan peruntukan RM4 juta bagi memenuhi keperluan sekolah agama JAIS.
“Ketika Amanat Tahun Baharu, kita telah sediakan tambahan peruntukan RM4 juta kepada sekolah-sekolah agama JAIS yang KAFA terutamanya, untuk menambah keperluan meja, pelajar kursi pelajar, alat bantuan mengajar di sekolah-sekolah.
“Ini demi untuk memastikan pendidikan di sekolah-sekolah JAIS memenuhi keperluan standard dan piawaiaan yang diletakkan demi pendidikan yang berkualiti,” katanya.
Peruntukan itu diumumkan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bagi memperkasa serta menaik taraf fasiliti Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh Selangor.








