SUKMA 2026: Senarai atlet Selangor bakal dimuktamadkan, persiapan hampir 100 peratus

28 Apr 2026, 12:07 AM
SUKMA 2026: Senarai atlet Selangor bakal dimuktamadkan, persiapan hampir 100 peratus
SUKMA 2026: Senarai atlet Selangor bakal dimuktamadkan, persiapan hampir 100 peratus
SUKMA 2026: Senarai atlet Selangor bakal dimuktamadkan, persiapan hampir 100 peratus

SHAH ALAM, 28 APRIL: Senarai akhir atlet Selangor bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kini berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Ketua Kontinjen Selangor Abbas Azmi berkata persiapan kontinjen negeri itu hampir mencapai tahap 100 peratus selepas dilaksanakan sejak temasya SUKMA Sarawak.

Menurutnya, senarai atlet telah dikenal pasti dan kini hanya melalui proses pengemaskinian sebelum diumumkan secara rasmi.

"Senarai akhir atlet telah dikenal pasti dan kini hanya melalui proses pengemaskinian.

"Ia dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat memandangkan tempoh penganjuran semakin hampir," katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi ditemui di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam pada 27 April 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk meneruskan temasya berkenaan memberi kelegaan kepada atlet serta persatuan sukan yang telah membuat persiapan rapi sejak awal.

"Saya mewakili atlet dan persatuan sukan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas perkenan Tuanku untuk meneruskan SUKMA 2026.

"Mereka kini lebih bersemangat dan berjanji akan memberikan aksi terbaik untuk Selangor pada temasya kali ini," ujarnya.

Beliau berkata peruntukan latihan atlet kekal bagi memastikan kebajikan serta prestasi mereka tidak terjejas.

"Peruntukan latihan tidak dikurangkan kerana melibatkan elaun serta keperluan asas atlet.

"Jika temasya ditangguhkan, kos akan meningkat, jadi keputusan meneruskan SUKMA membantu mengawal perbelanjaan," jelas beliau.

Sementara itu, Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata persiapan venue di daerah Klang berjalan lancar dengan beberapa kemudahan utama telah dinaik taraf.

"Antara venue terlibat ialah Stadium Hoki Klang, Stadium Sultan Sulaiman bagi acara ragbi serta gelanggang boling padang di Bayu Mas.

Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Kerja naik taraf termasuk penggantian rumput, pemasangan lampu dan papan skor dilaksanakan mengikut jadual," katanya.

Beliau berkata lebih RM10 juta diperuntukkan bagi memastikan semua venue berada pada tahap terbaik.

"Dengan berlangsungnya SUKMA, kita bersyukur semua venue yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kita juga menjunjung kasih dan berterima kasih atas perkenan Tuanku kerana segala persiapan yang dilaksanakan kini dapat direalisasikan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.