SUKMA diteruskan: Pulau Pinang sambut baik, persiap atlet hadapi temasya

27 Apr 2026, 3:29 AM
SUKMA diteruskan: Pulau Pinang sambut baik, persiap atlet hadapi temasya

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Pulau Pinang menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi meneruskan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadual berlangsung Ogos ini.

EXCO Sukannya, Daniel Gooi Zi Sen berkata pengumuman Menteri Belia dan Sukan semalam merupakan perkembangan positif yang membolehkan persiapan atlet negeri itu diteruskan seperti dirancang.

“Ini merupakan satu perkembangan yang amat baik, di mana segala usaha untuk mempersiapkan para atlet, khususnya dari Pulau Pinang, bagi menghadapi temasya kali ini dapat diteruskan.

“Kami berharap semua perancangan berjalan lancar dan sekali lagi, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih, khususnya kepada Perdana Menteri dan menteri atas usaha memastikan SUKMA ini dapat diteruskan,” katanya memetik laporan RTM.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua berkata penganjuran secara sederhana adalah memadai asalkan temasya dwitahunan itu dapat diteruskan demi pembangunan sukan negara.

“Bagi kami, pendekatan penganjuran secara sederhana sudah memadai. Apa yang penting ialah kemudahan gelanggang sukan dapat dibuka, manakala segala perbelanjaan dilaksanakan secara berhemah dan berjimat, tanpa peningkatan kos yang ketara,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memberi perkenan agar SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat selepas mendengar taklimat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Baginda mencadangkan penganjuran SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat reda dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya, berikutan kos penganjuran yang tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

SUKMA edisi ke-22 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA dari 5 hingga 10 September dengan 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah melibatkan 52 venue.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.