SHAH ALAM, 27 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memanggil seorang lelaki bagi merekod keterangan berhubung kandungan jelik melampau berunsur agama, raja dan kaum (3R) terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
SKMM dalam kenyataan memaklumkan individu terbabit yang juga pentadbir akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre telah dirakam percakapannya hari ini bagi membantu siasatan.
Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan dengan kerjasama pihak polis bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap kes berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
"Pihak polis pula menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda atau dipenjarakan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya," katanya.
Dalam perkembangan sama, SKMM memaklumkan pihaknya memandang serius kandungan jelik melampau terhadap institusi diraja kerana boleh menjejaskan keyakinan awam serta mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat.
“Orang ramai diingatkan menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab. Sebarang kandungan berunsur jelik, fitnah dan hasutan terutama melibatkan institusi diraja akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.
Kelmarin, tular di media sosial satu hantaran yang menyunting imej khinzir memakai pakaian adat istana dan mengaitkannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Justeru, hari ini Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis berhubung hantaran media sosial tersebut termasuk Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad yang turut membuat laporan polis.
Dewan Diraja Selangor juga menuntut tindakan tegas termasuk siasatan segera oleh polis serta SKMM bagi mengenal pasti serta mendakwa individu terlibat di bawah undang-undang termasuk Akta Hasutan.








