EXCO: Sekat kandungan hina Sultan Selangor, kenakan tindakan tegas

26 Apr 2026, 12:36 PM
EXCO: Sekat kandungan hina Sultan Selangor, kenakan tindakan tegas

SHAH ALAM, 26 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta segera memantau, menyekat serta menurunkan kandungan media sosial yang berunsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Kementerian Komunikasi juga memainkan peranan dalam memastikan pengukuhan ekosistem media alam maya selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Jelasnya, kementerian berkenaan juga perlu mempergiat usaha kesedaran awam mengenai penggunaan media secara berhemah.

“Dalam konteks negara yang berbilang kaum dan bersifat majmuk, sebarang tindakan yang mengganggu keharmonian dan perpaduan rakyat harus ditolak sama sekali.

“Kita semua bertanggungjawab untuk memelihara hubungan antara kaum serta memastikan keamanan negeri terus terpelihara.

“Media sosial tidak boleh digunakan untuk penyebaran kandungan yang berunsur penghinaan, fitnah atau provokasi,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran yang menyunting gambar khinzir mengenakan pakaian istiadat istana, mengaitkannya dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dr Mohammad Fahmi menyifatkan hantaran berkenaan sebagai tindakan tidak beradab, melanggar norma masyarakat, serta bertentangan dengan nilai hormat terhadap institusi diraja.

Jelasnya ia juga boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Sebarang cubaan untuk mencemarkan nama baik institusi diraja adalah perbuatan yang amat dikesali dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya menyeru polis menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat, selaras dengan undang-undang negara,” katanya.

Sebelum itu EXCO Pelaburan Ng Sze Han menyeru pihak polis mengambil tindakan tegas agar pihak terbabit dikenakan hukuman berat selaras peruntukan undang-undang negara.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah pula berkata kebebasan bersuara yang diamalkan dalam negara ini bukan lesen untuk menghina mana-mana pihak apatah lagi institusi diraja.

Beliau turut menggesa polis serta SKMM mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang cuba mengganggu gugat keharmonian negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.