Bau busuk bongkar tapak sampah haram, MPAJ sita alatan dan kompaun pesalah

27 Apr 2026, 5:51 AM
Bau busuk bongkar tapak sampah haram, MPAJ sita alatan dan kompaun pesalah

SHAH ALAM, 25 APRIL: Aduan bau busuk oleh penduduk membawa kepada penemuan tapak pembuangan sampah haram di Tasik Tambahan, sekali gus mendorong Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.

Dalam operasi penguatkuasaan kelmarin, MPAJ menyita peralatan dan mengeluarkan kompaun selepas pemeriksaan mendapati berlaku pelanggaran Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MPAJ) 2007.

“Hasil pemeriksaan mendapati lokasi berkenaan digunakan untuk aktiviti pengumpulan dan pembuangan sampah secara tidak terkawal sehingga menjejaskan persekitaran,” katanya.

Menurut kenyataan MPAJ, individu terlibat turut diarahkan melaksanakan kerja pembersihan serta pengosongan tapak dengan segera bagi mengelakkan risiko pencemaran dan gangguan berterusan kepada penduduk sekitar.

“Selain itu, tindakan penutupan kawasan turut dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi aktiviti serupa dijalankan di lokasi berkenaan,”

Individu terlibat diarah melaksanakan kerja pembersihan dan pengosongan tapak pembuangan sampah haram di Tasik Tambahan, Ampang Jaya pada 25 April 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya Rasmi

MPAJ menegaskan tidak akan berkompromi terhadap aktiviti pembuangan sampah haram dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan persekitaran kekal bersih, selamat serta terpelihara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.