Penutup simen pecah, pelajar cedera selepas terjatuh perigi sedalam tujuh meter

26 Apr 2026, 5:44 AM
Penutup simen pecah, pelajar cedera selepas terjatuh perigi sedalam tujuh meter

KOTA BHARU, 26 APRIL: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun cedera ringan di kepala dan badan selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam lebih tujuh meter di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Wakaf Bharu, di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Azmi Sulaiman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.12 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera LFRT dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan tiba kira-kira 11 minit kemudian dan mendapati mangsa berada di dalam perigi. Operasi menyelamat segera dijalankan menggunakan peralatan khas termasuk tali dan tangga,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata mangsa, Wan Ahmad Mukhlis Wan Md Fadhli, berjaya dikeluarkan dengan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai duduk di atas penutup perigi yang diperbuat daripada simen sebelum struktur itu pecah kerana tidak dapat menampung berat badan mangsa.

Katanya, perigi berkenaan sebelum ini digunakan sebagai sumber air bawah tanah oleh pihak sekolah, namun sudah lama tidak lagi digunakan.

Operasi berjaya dikawal pada 9.34 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 10.00 pagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.