SHAH ALAM, 23 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) giat mengumpul data sekolah dan pelajar bagi menjayakan program bantuan sarapan percuma melalui Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Mohd Hasry Nor Mohd memberitahu pihaknya menerima arahan Kerajaan Negeri bagi melaksanakan inisiatif tersebut.
“MPKL sedang mengumpul data sekolah di sekitar Kuala Langat selain merancang bersama Kerajaan Negeri bagi menyediakan pakej makanan yang sesuai untuk program tersebut,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Shahman Jalaludin pula berkata pihaknya mempercepat pengumpulan data bilangan sekolah dan murid untuk dimuktamad dalam masa terdekat.
“Proses pengumpulan data dipercepat bagi memastikan program dapat dibuat secepat mungkin mengikut garis masa yang ditetapkan Kerajaan Selangor,” katanya.

Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon memaklumkan pihaknya menunggu taklimat lanjut daripada pentadbiran negeri berhubung pelaksanaan program tersebut.
Beliau menjelaskan sebaik sahaja MBPJ memperoleh maklumat lengkap termasuk modus operandi, pelaksanaan program akan disegerakan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Julaihah Jamaludin berkata pihaknya ada mengadakan program sarapan percuma berasaskan endowment di sekolah sekitar daerahnya.
Katanya, MPHS sedang meneliti penyediaan dana hasil bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar.








