Kesedaran perlindungan sosial pekerja gig masih rendah

26 Apr 2026, 4:59 AM
Kesedaran perlindungan sosial pekerja gig masih rendah
Kesedaran perlindungan sosial pekerja gig masih rendah
Kesedaran perlindungan sosial pekerja gig masih rendah

SHAH ALAM, 26 APRIL: Tahap kesedaran pekerja gig terhadap kepentingan perlindungan sosial masih berada pada tahap rendah walaupun pelbagai usaha pendedahan dijalankan sejak beberapa tahun lalu.

Presiden Grab Driver Malaysia Association (GDMA), Mohd Azril Mohd Amin berkata, kadar penyertaan dalam skim perlindungan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kekal rendah tanpa perubahan ketara.

“Kadar penyertaan pekerja gig ini dari dulu tidak banyak berubah walaupun pelbagai pendedahan telah diberikan,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Menurut beliau, antara punca utama ialah sikap segelintir masyarakat yang mengharapkan pulangan segera terhadap setiap bayaran yang dibuat.

“Bila kita bayar sesuatu, kita nak lihat imbalan segera. Jadi bila mencarum, mereka persoalkan apa kelebihan yang diperoleh selepas membuat bayaran,” katanya.

Beliau menambah, PERKESO telah menjalankan pelbagai sesi penerangan sejak 2018 termasuk kepada pemandu e-hailing Grab, namun masih ramai tidak memahami manfaat sebenar.

“PERKESO telah lama beri taklimat dan pendedahan, tetapi masih ada yang tidak tahu bantuan boleh disalurkan sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Dalam masa sama, persepsi negatif terhadap PERKESO turut menjadi cabaran utama dalam meningkatkan penyertaan.

“Cabaran utama adalah pemikiran negatif terhadap PERKESO itu sendiri kerana kurang pemahaman yang tepat.

“Mungkin sudah tiba masa untuk ada penguatkuasaan menggunakan akta sedia ada atau penambahbaikan dibuat supaya caruman dapat dilaksanakan dengan lebih konsisten,” tambahnya.

Beliau mencadangkan supaya perlindungan diperluaskan merangkumi penyakit kritikal, khususnya bagi golongan muda yang kini cenderung memilih pekerjaan gig sebaik tamat persekolahan.

Menurutnya, keperluan terhadap perlindungan menyeluruh hanya akan dirasai apabila usia meningkat dan kesedaran awal perlu dipupuk dalam kalangan pekerja gig.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.