Perkeso gesa penyelia platform daftar pekerja gig segera, patuhi Akta Pekerja Gig 2025

25 Apr 2026, 4:28 AM
Perkeso gesa penyelia platform daftar pekerja gig segera, patuhi Akta Pekerja Gig 2025

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggesa penyedia platform untuk segera menyelaraskan sistem serta mengemukakan daftar maklumat pekerja masing-masing bagi mematuhi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan, gesaan itu dibuat susulan proses on-boarding ketika ini hanya membabitkan kira-kira dua peratus daripada anggaran 1.2 juta pekerja gig di Malaysia, walaupun infrastruktur sistem digitalnya sudah siap sepenuhnya.

“Langkah berkenaan bukan sekadar keperluan pematuhan undang-undang, malah tindakan kritikal bagi memastikan perlindungan sosial yang konsisten dan berterusan kepada golongan pekerja gig.

“Hal ini (kerana) pekerja gig sentiasa terdedah kepada risiko kemalangan semasa mencari rezeki, justeru sebarang kelewatan dalam integrasi sistem bakal memberi implikasi terhadap kelangsungan pendapatan sekiranya ditimpa bencana kerja,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan Perkeso itu, pihaknya mengambil maklum kegurasan yang disuarakan Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM), berhubung tahap pematuhan akta berkenaan dan bersedia mengambil pendekatan lebih tegas melalui penguatkuasaan, sekiranya penyedia platform masih gagal mematuhi keperluan di bawah akta berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa penyedia platform, wajar memastikan perlindungan keselamatan sosial diberikan kepada pekerja gig, kerana ia merupakan hak asas yang menyokong kelestarian operasi industri berkenaan.

“Perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar tuntutan perundangan, sebaliknya satu amanah untuk menjaga kebajikan pekerja yang menyumbang kepada ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.