SABAK BERNAM, 25 APRIL: Kerajaan Selangor mengutamakan penglibatan warga kerja tempatan dalam pembangunan Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Pengerusi Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), Datuk Rizam Ismail berkata inisiatif itu bukan sahaja menjana pekerjaan baharu, malah memberi peluang kepada golongan belia termasuk nelayan dan petani meningkatkan taraf ekonomi.
Menurutnya, kedudukan strategik kawasan berkenaan yang berhampiran institusi pendidikan seperti politeknik dan pusat latihan lain memberi kelebihan dalam menyediakan tenaga kerja mahir bagi sektor akuakultur dan pemprosesan makanan.

“Kawasan ini sememangnya berada dalam ‘lembah ilmu’ dengan kehadiran institusi pendidikan yang boleh membekalkan tenaga kerja berkemahiran kepada industri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ZIPS di Sungai Lang, di sini.
Beliau yang juga EXCO Kemajuan Desa berkata pembangunan ZIPS turut dijangka memperkukuh rantaian bekalan industri perikanan negara, khususnya dengan peningkatan kecekapan logistik.
Katanya, pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang bakal memendekkan jarak penghantaran hasil laut sekali gus mempercepatkan akses ke rangkaian pengedaran nasional.
“Dengan pengurangan jarak kira-kira 40 km, hasil laut dari Sungai Lang akan mempunyai akses lebih pantas ke rangkaian pengedaran nasional, sekali gus menjimatkan kos dan masa kepada nelayan serta pengusaha,” katanya.

Tambah beliau, kedudukan zon berhampiran Hab Bagan Datuk sebagai pusat pengedaran ikan utama negara membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk menyertai rantaian nilai yang lebih besar.
Dalam masa sama, penyediaan kemudahan bersepadu termasuk pemprosesan, logistik dan pusat penyimpanan sejuk beku dijangka mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
“Perkongsian infrastruktur moden ini akan membantu menurunkan kos operasi pengusaha kecil dalam radius sekitar 50 kilometer dan meningkatkan daya saing mereka,” tambahnya.
Rizam berkata pelaksanaan ZIPS di bawah inisiatif SABDA merupakan langkah strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta membina ekosistem ekonomi yang mampan.
“Ini bukan sekadar projek akuakultur biasa, tetapi satu transformasi menyeluruh yang menggabungkan pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan kelestarian untuk manfaat rakyat tempatan,” katanya.








