SABAK BERNAM, 25 APRIL: Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) seluas 600 ekar di daerah ini, dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat melalui pembangunan hab industri perikanan bersepadu.
Dato’ Menteri Besar berkata projek itu memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran, termasuk penghasilan makanan diproses dan produk bernilai tambah.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari , ZIPS bukan sekadar berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan pengedaran ikan mentah, sebaliknya dibangunkan bagi memperkukuh rantaian nilai industri perikanan.
“Melalui pembangunan ini, kita mahu menghasilkan produk kedua dan seterusnya seperti makanan diproses, sekali gus meningkatkan nilai ekonomi sektor perikanan,” katanya pada majlis pelancaran projek itu di sini.
Hadir sama EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop dan Pegawai Daerah Sabak Bernam Sadikin Sadin.
Menurut Amirudin, pembangunan awal projek berkenaan memerlukan pelaburan sekitar RM100 juta hingga RM200 juta bagi penyediaan infrastruktur asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik.
Jelasnya, pembangunan berkenaan disasar bergerak secara berperingkat dengan tempoh pelaksanaan kira-kira lima tahun, bergantung kepada penyertaan pelabur dan kesiapsiagaan pelan induk.
“Potensi ekonomi dan peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan adalah sangat besar kepada penduduk tempatan, selain memperkukuh rantaian industri melibatkan sektor perikanan, logistik dan pemprosesan,” katanya.
Tambah beliau, lokasi strategik Sungai Lang turut memberi kelebihan apabila mampu menarik bekalan hasil laut dari kawasan sekitar termasuk Sabak Bernam dan Bagan Datuk untuk diproses di zon berkenaan.
“Dengan adanya kemudahan ini, hasil tangkapan tidak lagi perlu dihantar jauh ke lokasi lain untuk diproses kerana kita sediakan ekosistem lengkap di sini,” katanya.
Pembangunan ZIPS turut mengambil kira infrastruktur masa depan seperti Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan pembinaan jambatan baharu Sungai Air Tawar - Hutan Melintang yang bakal meningkatkan akses serta pergerakan logistik.
ZIPS merupakan inisiatif strategik di bawah Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) akan dilaksanakan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Projek berimpak tinggi itu akan dibangunkan sebagai ekosistem menyeluruh merangkumi aktiviti akuakultur marin dan air tawar, pemprosesan hasil laut, kemudahan rantaian sejuk beku serta penyelidikan dan inovasi.
Langkah berkenaan dijangka memperkukuh rantaian nilai industri perikanan negeri daripada peringkat pengeluaran hingga ke pasaran, sekali gus merancakkan ekonomi luar bandar dan meningkatkan daya saing sektor berkenaan.







