SHAH ALAM, 20 APRIL: Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) komited untuk terus memainkan peranan sebagai pemangkin pelaburan berkualiti menerusi ekosistem perniagaan berteraskan nilai dan kepercayaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha bersifat jangka panjang itu berupaya mendorong pembangunan ekonomi seimbang, inklusif serta memberi manfaat kepada rakyat Selangor.
“Kita diingatkan bahawa kejayaan jangka panjang, sama ada dalam perniagaan mahupun pelaburan, bergantung kepada nilai saling menghormati, keterbukaan, serta persefahaman yang dibina secara berterusan.
“Sebagai entiti strategik Kerajaan Negeri, Kumpulan MBI Selangor komited untuk terus memainkan peranan sebagai pemangkin pelaburan berkualiti dan rakan pertumbuhan yang dipercayai,” katanya menerusi rakaman video sempena Majlis Tautan Muhibah Kumpulan MBI Selangor, hari ini.
Bertemakan 'Dalam Santun Terhimpun, Dalam Mesra Terjalin', majlis yang diadakan di Pusat Konvesyen Setia City di sini, dianjur dengan kerjasama semua anak syarikat Kumpulan MBI Selangor.
Amirudin berkata, majlis itu diadakan dengan teras kesedaran bahawa hubungan dan kepercayaan yang terjalin merupakan asas penting kepada kelangsungan kerjasama perniagaan dan pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan.
Beliau turut berharap Majlis Tautan Muhibah dapat dimanfaatkan sebagai platform bagi memperkukuh jaringan, meneroka potensi kerjasama baharu serta membuka ruang kepada peluang pelaburan berimpak tinggi.
“Saya percaya, melalui ikatan muhibbah yang kukuh dan jaringan perniagaan yang diperkasakan, kita mampu memacu pembangunan Selangor yang progresif, berdaya saing dan berteraskan kepentingan rakyat,” katanya.












