KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kerajaan Selangor merancang beberapa inisiatif bagi melindungi negeri itu daripada kemelesetan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada sektor baharu dan reformasi praktikal.
Dato’ Menteri Besar berkata pentadbirannya akan melaksanakan intervensi strategik seperti memperkukuh industri sains hayat, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta ekonomi penjagaan bagi menghadapi masyarakat menua.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga berlakunya kemelesetan ekonomi sebelum bertindak.
“Kita mesti mengenal pasti bidang baharu untuk diterokai, sama ada dalam sains hayat, R&D atau ekonomi penjagaan," kata Dato' Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan ucapan penutup Sesi Libat Urus Belanjawan Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Sime Darby, hari ini.
Amirudin berkata Selangor sedang meneroka peluang dalam ekonomi penjagaan dengan menumpukan kepada latihan dan pembangunan bakat tempatan bagi melahirkan tenaga pakar dalam sektor itu, bukan sekadar memenuhi permintaan luar negara.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri akan memperluas inisiatif kesihatan awam khususnya dalam aspek kesihatan mental, melalui peningkatan peruntukan, penambahbaikan fasiliti serta pelaksanaan intervensi berasaskan komuniti.
Beliau turut menekankan kepentingan menterjemah pelan induk kepada tindakan konkrit yang mempunyai garis masa jelas serta hasil yang boleh diukur.
“Kita mesti tetapkan apa yang mahu dicapai dalam tempoh enam hingga lapan tahun akan datang, dan pastikan reformasi dalam tadbir urus, pendidikan, pembangunan luar bandar serta pemudahcaraan pelaburan dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Menurut Amirudin, Selangor mesti kekal berdaya tahan dalam dunia multipolar yang tidak menentu, selain berusaha mencari peluang walaupun ketika krisis.
“Setiap krisis membawa titik pengorbanan dan menjadi ujian kepimpinan. Pemimpin mesti berani, kadangkala membuat keputusan sukar, serta mengakui kesilapan apabila perlu,” ujar beliau.