KAJANG, 3 SEPT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membelanjakan lebih RM100,000 bagi menyelenggara enam lokasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong sebagai persediaan berdepan musim tengkujuh.
Wakil rakyatnya Ong Chun Wei berkata tindakan bertujuan memastikan saluran perparitan tidak tersumbat dan dalam keadaan baik selain mengelakkan kawasan terbabit menjadi tumpuan haiwan liar.
“Kerja selenggara ini dibuat sepanjang Ogos lalu. Ini merupakan inisiatif pihak majlis bagi megelakkan berlakunya banjir kerana tidak lama lagi musim hujan.
“Kita bersihkan semua saluran longkang termasuk semak samun. Kita tidak mahu haiwan liar seperti ular membiak kerana lokasi ini berhampiran kawasan kediaman penduduk,” katanya.
Terdahulu beliau meninjau lokasi yang sudah dibersihkan di Jalan Suasana di Bandar Tun Hussein Onn, dekat sini.

Lima lagi lokasi yang turut diselenggara ialah Taming Sari 1, Taman Taming Jaya, Jalan 1/7 Damai Perdana, Taman Damai Perdana dan Taman Putri Jaya.
Turut dibersihkan kawasan Di Jalan Harmoni 1 hingga Harmoni 3, Taman Harmoni dan Jalan Persiaran Suakasih Suakasih 3/1, Bandar Tun Hussein Onn.
Dalam pada itu Chun Wei turut menggesa MPKj mengambil tindakan segera membaiki sebahagian tembok longkang di Jalan Suasana, Bandar Tun Hussein Onn yang runtuh.
Katanya runtuhan itu boleh merebak ke bahagian lain sekali gus merisikokan pengguna jalan raya dan penduduk yang tinggal berhampiran.
“Bila bersihkan kawasan ini, kita dapati tembok longkang runtuh. Sebahagian strukturnya hilang.
“Kalau dibiarkan ia boleh mengundang bahaya kerana runtuhan itu bawah jalan raya. Risau sekiranya ia makin teruk dan boleh rosakkan jalan,” katanya.