MPKj laksana pembersihan intensif tangani masalah longkang kritikal

24 Apr 2026, 12:34 PM
MPKj laksana pembersihan intensif tangani masalah longkang kritikal

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sentiasa memantau kerja penyelenggaraan longkang di kawasan pentadbirannya terutama di Bandar Mahkota Cheras dan Bandar Sungai Long.

Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat MPKj memaklumkan kerja pembersihan longkang dilaksana secara berkala mengikut jadual ditetapkan, iaitu seminggu sekali bagi longkang terbuka.

“Namun, terdapat beberapa kekangan yang menjejaskan kerja pembersihan secara optimum di lapangan, termasuk longkang di kawasan komersial yang bertutup hingga menyukarkan penyelenggaraan dibuat dengan sempurna.

“Wujud juga sebahagian premis perniagaan membina struktur tambahan sehingga menyebabkan sisa binaan seperti batu dan pasir memasuki longkang awam sekali gus mengakibatkan mendapan dan penyumbatan serius,” katanya kepada Media Selangor.

MPKj turut memaklumkan penyelenggaraan menjadi lebih mencabar apabila terdapat pemilik restoran tidak bertanggungjawab membuang sisa minyak ke dalam saliran sehingga membentuk gumpalan keras yang menghalang aliran air.

Justeru katanya, longkang yang bermasalah seperti bertutup, mempunyai mendapan tebal atau mengalami penyumbatan serius tidak dapat diselenggara mengikut kekerapan biasa.

Jelasnya, ia susulan kerja pembersihan tersebut memerlukan penggunaan jentera khas serta proses pembersihan yang lebih menyeluruh dan mengambil masa lebih panjang.

Dalam pada itu, MPKj juga akan bekerjasama akan dengan KDEB Waste Management bagi menangani kes longkang yang dipenuhi mendapan tebal termasuk pelaksanaan kerja pembersihan intensif (desilting).

“Ini melibatkan penggunaan jentera khas seperti jentera pembersih perangkap longkang dan lori tangki tekanan tinggi serta operasi berjadual dan ad-hoc di kawasan kritikal.

“Kaedah pembersihan manual sahaja tidak mencukupi. Pelaksanaan kerja bergantung kepada keperluan teknikal serta penjadualan penggunaan jentera bagi memastikan pembersihan lebih berkesan,” katanya.

Kenyataan dikeluarkan MPKj itu juga sebagai maklum balas terhadap laporan The Star bertajuk “Drains choked with grime, rodents” pada 14 April lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.