KLANG, 2 SEPT: Kerajaan Selangor akan memperluaskan kempen kesedaran menolak budaya buli bermula di peringkat sekolah hingga komuniti setempat.
EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata Penggerak Belia Selangor (PeBS), Wanita Berdaya Selangor (WBS), ketua komuniti dan ketua kampung akan membantu menjalankan kempen antibuli.
“Kita telah menggerakkan di peringkat PeBS termasuk meminta agensi berkaitan seperti WBS, ketua komuniti, ketua kampung dan ahli majlis untuk bersama gerakkan kempen antibuli di peringkat komuniti masing-masing.
“Kempen akan digerak secara berperingkat, kita minta mereka jalankan program dari akar umbi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya di sekolah betapa bahaya kegiatan buli,” katanya kepada Media Selangor.
Mohd Najwan menegaskan budaya buli wajar ditolak kerana ia bukan sahaja merosakkan struktur sekolah tetapi melibatkan trauma atau kesan psikologi jangka panjang kepada mangsa.
Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor akan memantau isu buli di sekolah, khususnya di sekolah berasrama di bawah kelolaan Kerajaan Negeri.
Tegasnya, tiada kompromi terhadap perbuatan buli kerana ia memberi kesan psikologi dan fizikal serius malah boleh meragut nyawa.