ad

EXCO: Pesilat muda Selangor berpotensi wakili SUKMA, lahir atlet pelapis

1 Sep 2025, 12:13 PM
EXCO: Pesilat muda Selangor berpotensi wakili SUKMA, lahir atlet pelapis
EXCO: Pesilat muda Selangor berpotensi wakili SUKMA, lahir atlet pelapis
EXCO: Pesilat muda Selangor berpotensi wakili SUKMA, lahir atlet pelapis

KLANG, 1 SEPT: Bakat pesilat muda menerusi acara Kejuaraan Silat Sekolah-sekolah peringkat Negeri Selangor 2025 berpotensi mewakili Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata acara itu juga sebahagian platform bagi mengenal pasti bakat muda untuk mewakili Selangor ke peringkat lebih jauh.

“Inisiatif ini bagi mengenal pasti bakat baharu sekolah rendah dan menengah, mereka ini akan digarap dan dikembangkan lagi bakatnya sebagai wakil sukan silat di Selangor.

“Insya-Allah mereka yang terlibat akan dikenal pasti pihak sukan negeri untuk diketengahkan sebagai atlet pelapis yang kita jangka boleh digarap untuk mewakili Selangor dalam kejohanan SUKMA akan datang,” katanya.

EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media pada Majlis Penutup Kejuaraan Silat Sekolah-Sekolah Peringkat Negeri Selangor di KSL Esplanade Mall, Klang pada 1 September 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas acara Kejuaraan Silat Sekolah-sekolah peringkat Negeri Selangor 2025 di KSL Esplanade Mall di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 500 peserta sekolah rendah dan menengah terlibat dalam acara tersebut yang mana pemenang akan mewakili Selangor ke pertandingan peringkat Kebangsaan di Kemaman, Terengganu dari 14 hingga 17 September ini.

Mohd Najwan turut menyampaikan medal kepada juara keseluruhan yang dimenangi Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2 manakala kategori menengah diperoleh pasukan Pesaka Kuala Selangor.

Pada masa sama, Mohd Najwan menyeru ibu bapa untuk melibatkan anak mereka dalam sukan seni mempertahankan diri seperti silat, taekwondo atau karate bagi mengelak daripada dibuli.

“Ini penting sekiranya anak-anak ada ilmu pertahankan diri mereka dapat elak diri daripada dibuli dan pada masa sama kita perlu tekankan bila ada kemahiran jangan kita buli orang tetapi jadikan sebagai senjata mempertahankan diri,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.