KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Usaha berterusan Selangor FC membangunkan bakat bola sepak akar umbi kini menunjukkan hasil apabila lebih 2,000 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun mengikuti latihan mingguan melalui program Soccer School.
Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Johan Kamal Hamidon berkata, program itu digabungkan dengan Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) serta jelajah sekolah secara berkala, sekali gus membentuk laluan tersusun bagi pemain muda mara ke skuad belia dan senior negeri.
“Setiap tahun, kami mahu melihat seorang atau dua pemain muda berjaya menembusi pasukan utama. Itu aspirasi kami dan ia mencerminkan hasil usaha bertahun-tahun,” katanya pada sidang media sempena majlis menandatangani kerjasama Selangor FC–Hyundai di Menara Affin @ TRX hari ini.
Antara pemain pasukan utama Selangor FC yang lahir daripada skuad pembangunan kelab termasuk Haykal Danish, Muhammad Khalil, Raimi Shamsul dan Moses Raj.
Mereka kini sudah menyertai skuad senior serta menjadi tonggak yang menyumbang dalam musim 2025/26.
Johan menambah, pendekatan kelab itu bukan sahaja menumpukan kepada latihan, tetapi juga pencarian bakat melalui pertandingan bola sepak akar umbi.
“Daripada Liga FAS, kami mengesan dan memantau pemain berpotensi. Mereka yang menyerlah akan diserap secara berperingkat ke dalam pasukan pembangunan Selangor FC,” jelasnya.
Namun, beliau mengakui laluan itu tidak mudah kerana pemain muda biasanya perlu menempuh bertahun-tahun cabaran dan tekanan sebelum berjaya menembusi skuad utama.
“Bola sepak memang sangat kompetitif, tetapi itu sebahagian daripada permainan. Apa yang penting ialah memberi mereka platform yang betul,” katanya.
Sebelum ini, pada 10 Julai lalu, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Mohd Najwan Halimi memberitahu Dewan Negeri Selangor bahawa Selangor FC kekal komited mengutamakan pembangunan bakat bola tempatan.
Bagaimanapun, beliau turut menegaskan skuad Red Giants masih perlu mengenal pasti serta merekrut pemain warisan di luar negara bagi memperkuatkan pasukan untuk saingan domestik dan peringkat Asia.
Dalam saingan Liga Super Malaysia musim ini, Selangor FC memulakan aksi dengan keputusan bercampur, apabila menang dalam dua perlawanan di laman sendiri tetapi tewas dalam dua aksi di tempat lawan. Ketika ini, mereka berada di tangga keempat liga.