Selangor, JDT buru tiket ke final Kejuaraan Kelab ASEAN

6 Mei 2026, 7:39 AM
Selangor, JDT buru tiket ke final Kejuaraan Kelab ASEAN
Selangor, JDT buru tiket ke final Kejuaraan Kelab ASEAN
Selangor, JDT buru tiket ke final Kejuaraan Kelab ASEAN

SHAH ALAM, 6 MEI: Dua wakil negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC meneruskan cabaran memburu tiket ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menerusi aksi separuh akhir pertama, malam ini.

JDT akan melayan kunjungan juara bertahan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim dengan misi membalas kekalahan sebelum ini selain memburu satu lagi kejuaraan musim ini.

Skuad kendalian Xisco Munoz itu masih berpeluang menambah dua trofi iaitu Piala Malaysia dan ACC selepas menjuarai Piala Sumbangsih, Piala FA serta Liga Super musim ini.

Namun, Harimau Selatan dijangka berdepan laluan sukar apabila rekod pertemuan dengan Buriram United tidak memihak kepada mereka.

Dalam empat aksi terdahulu, JDT sekadar mencatat dua keputusan seri dan dua kekalahan menentang kelab dari Thailand itu.

Justeru, kelebihan beraksi di laman sendiri dilihat penting untuk dijadikan bekalan selesa sebelum perlawanan timbal balik di gelanggang lawan pada 13 Mei ini, lapor Berita Harian.

Sementara itu, Selangor FC akan berdepan wakil Vietnam, Nam Dịnh di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam usaha memburu slot ke final.

ACC menjadi peluang terakhir buat skuad Gergasi Merah untuk melangkah ke pentas akhir selepas terkandas di separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Pasukan kendalian Kim Pan Gon itu dijangka berdepan cabaran sengit berikutan prestasi cemerlang Nam Dịnh di peringkat kumpulan.

Kelab Vietnam itu muncul pasukan terbaik keseluruhan dengan empat kemenangan dan satu keputusan seri.

Ancaman utama Nam Dịnh hadir menerusi penyerang naturalisasi, Nguyen Xuan Son yang kini mendahului carta penjaring dengan tujuh gol.

Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon berharap sokongan padu penyokong di Stadium MBPJ mampu menjadi pemangkin kejayaan pasukannya.

“Piala Shopee (ACC) sangat penting. Saya berasa ia bagus untuk menunjukkan semangat pemain dan karakter menyerang terutamanya perlawanan di tempat sendiri.

“Perlawanan dengan Nam Dinh sangat penting dan saya harap semua penyokong datang. Kami akan berikan yang terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, penyerang Nam Dịnh, Lam Ti Phong mengakui kekuatan Selangor FC dan menjangkakan perlawanan sengit bakal tercipta.

“Selangor adalah pasukan yang kuat, terkenal dengan kepantasan dan kekuatan fizikal. Saya percaya ia akan menjadi perlawanan yang menarik,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.