SHAH ALAM, 28 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 perlu diteruskan bagi memastikan rakyat, khususnya orang Melayu di bandar, mendapat kediaman lebih selesa dan tidak terus hidup merempat.
Beliau berkata rumah lama yang terbabit akan diganti dengan unit lebih baik, termasuk syarat minimum tiga bilik, manakala isu penyewa lama pula akan diberi pertimbangan oleh kerajaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa usaha seumpama ini pernah dilakukan ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Baik Kerinchi, baik Wangsa Maju semasa saya lakukan dulu dengan dana yang besar. Saya nak teruskan itu sekarang kerana tertinggal 20 tahun,” tegasnya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang mencadangkan supaya RUU itu ditangguhkan berikutan bantahan awam baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan, isu penyewa lama tetap diberi pertimbangan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun status mereka perlu dinilai berdasarkan perjanjian penyewaan sedia ada.
“Setiap tahun ada sekitar 10,000 permohonan baharu rumah di Kuala Lumpur, kebanyakannya anak muda. Malah di Putrajaya sahaja lebih 10,000 pegawai kerajaan masih menunggu rumah. Justeru, keutamaan perlu diberikan,” katanya.
Perdana Menteri turut menolak dakwaan bahawa RUU itu bertujuan menindas orang Melayu atau memberi ruang kepada agenda pihak tertentu.
“Saya ingin tegaskan, jangan kita buat tuduhan seolah-olah kerajaan mahu mengetepikan orang Melayu. Saya bukan boneka, saya diberi mandat untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera yang merupakan majoriti,” ujarnya.
Pembentangan RUU PSB bagi bacaan kali kedua berada pada senarai ketujuh dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat hari ini.