Malaysia runding dengan Iran selesaikan sekatan ke atas dua kapal negara - PM

24 Apr 2026, 9:05 AM
Malaysia runding dengan Iran selesaikan sekatan ke atas dua kapal negara - PM

JOHOR BAHRU, 24 APRIL: Kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan Iran bagi memastikan dua kapal tangki milik Malaysia yang membawa bekalan bahan api dibenarkan melepasi sekatan selepas keluar dari Selat Hormuz.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu diambil susulan sekatan yang dihadapi kapal berkenaan walaupun telah diberi pelepasan melalui selat tersebut sebelum ini oleh kerajaan Iran, khususnya oleh Presiden negara itu sendiri.

"Satu kapal sudah tiba (di Pengerang, Johor), manakala sebuah lagi hampir sampai dan sedang memasuki perairan Malaysia. Bagaimanapun, dua buah kapal yang sudah keluar (dari Selat Hormuz) masih berhadapan dengan beberapa sekatan.

"Jadi, kita sedang berunding kerana kelulusan itu sebenarnya telahpun diberikan," kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menunaikan solat Jumaat bersama warga Pasir Gudang di Masjid Bandar Permas Jaya, Johor Bahru pada 24 April 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Mengulas mengenai status kapal lain yang dilaporkan masih terkandas, Anwar berkata terdapat sebuah lagi kapal yang masih berada di pelabuhan Selat Hormuz.

"Sebuah lagi kapal masih terkandas di sana kerana mengalami kerosakan teknikal yang menyebabkannya tidak boleh berlepas buat masa ini," kata beliau.

Sebelum ini, media melaporkan lima buah kapal Malaysia dilaporkan terkandas di selat tersebut susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.