ad

Industri aeroangkasa jadi agenda utama Selangor hingga 2030

27 Ogos 2025, 1:48 PM
Industri aeroangkasa jadi agenda utama Selangor hingga 2030
Industri aeroangkasa jadi agenda utama Selangor hingga 2030
Industri aeroangkasa jadi agenda utama Selangor hingga 2030

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Industri aeroangkasa kekal menjadi agenda utama jangka panjang negeri serta diberi tumpuan penting dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri telah menggariskan inisiatif utama untuk meningkatkan pelaburan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau bawah Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030.

Beliau berkata Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebelum ini sudah menekankan kepentingan membangunkan hab khusus bagi industri untuk menarik lebih banyak syarikat aeroangkasa global ke Selangor dan Malaysia.

“Kami akan meneruskan momentum untuk industri aeroangkasa dalam RS-2 (2026-2030), yang akan dikeluarkan pada pertengahan tahun depan,” katanya ketika berucap pada Sidang Meja Bulat Pengenalan Selangor Hab Aeroangkasa, di sini hari ini.

Ketika ini, menurut Amirudin, Selangor menjadi 'rumah' kepada hampir 70 peratus aktiviti aeroangkasa negara, selain tumpuan kini adalah kepada perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Tambahnya, pembinaan Taman Aero Selangor (SAP) akan memberi peluang kepada pemain aeroangkasa dan logistik untuk meluaskan jangkauan serta membolehkan lebih banyak pesawat menggunakan kemudahan penyelenggaraan di Selangor.

“Kami telah bermula dengan lebih daripada 200 ekar tetapi dengan lebih daripada dua kali ganda ruang untuk berkembang, memandangkan ruang komersial KLIA menghampiri kapasiti maksimumnya.

“Subang tidak terlalu jauh, dan walaupun ia telah dibahagikan kepada perjalanan perniagaan persendirian, jarak pendek antara kedua-dua lapangan terbang memberi kami ruang untuk meningkatkan bahagian pasaran kami dalam segmen ini,” katanya.

SAP, yang meliputi kira-kira 600 ekar dalam KLIA Aeropolis — dengan fasa pertama mengambil kira-kira 200 ekar — mempunyai potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.3 bilion.

Projek itu adalah sebahagian daripada visi Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 untuk menjana pendapatan aeroangkasa tahunan RM55.2 bilion.

Sementara itu, Amirudin berkata Pameran Udara Selangor (SAS) pada tahun ini akan diadakan bersama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC).

"Acara ini akan memberi lebih tumpuan kepada topik berkaitan industri seperti dron, kenderaan bawah air autonomi, industri angkasa lepas, dan tenaga penerbangan mampan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.