ad

EXCO: Isu taska tidak terima bayi, Negeri kaji kesan gaji minimum terhadap operasi taska

26 Ogos 2025, 12:21 PM
EXCO: Isu taska tidak terima bayi, Negeri kaji kesan gaji minimum terhadap operasi taska
EXCO: Isu taska tidak terima bayi, Negeri kaji kesan gaji minimum terhadap operasi taska

SHAH ALAM, 26 Ogos: Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengkaji sekiranya kenaikan kadar gaji minimum RM1,700 yang berkuat kuasa 1 Ogos lalu memberi kesan kepada ibu bapa untuk menghantar anak ke taska.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, penutupan sebahagian taska juga mungkin disebabkan faktor keselamatan serta kecenderungan ibu bapa beralih kepada pengasuh di rumah yang tidak berdaftar.

"Kerajaan Negeri telah mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha taska dan JKM. Setakat ini, Selangor merekodkan 1,300 taska beroperasi yang telah berdaftar, namun masih terdapat sebahagian lagi belum mendaftar.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ditemui media selepas Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 26 Ogos 2025. Foto HANAFI MOHAMED/MEDIASELANGOR

"Kerajaan Negeri turut menyediakan geran berjumlah RM400,000 bagi membantu operator taska berdaftar. Pendekatan ini lebih kepada usaha mendekati, bukan menghukum," jelasnya.

Katanya adalah penting untuk pengusaha taska cakna tentang geran dan bantuan latihan kemahiran yang disediakan Kerajaan Negeri untuk menjaga kualiti perkhidmatan mereka.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Pada masa sama, Anfaal mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi kepada ibu bapa berdasarkan pendapatan mereka bagi meringankan beban kos penjagaan anak di taska.

"Saya juga telah bertemu dengan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita untuk mengusulkan perkara ini. Setakat ini perkara itu masih di peringkat cadangan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 40 peratus taska tidak lagi menerima bayi bawah usia setahun kerana isu keselamatan, risiko tindakan undang-undang dan kekangan kos operasi, sekali gus mendorong ibu bapa mendapatkan khidmat pengasuh di rumah yang tidak berdaftar.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.