Pengasas, pengusaha taska didakwa beroperasi tanpa perakuan pendaftaran sah

24 Apr 2026, 9:12 AM
Pengasas, pengusaha taska didakwa beroperasi tanpa perakuan pendaftaran sah

SHAH ALAM, 24 APRIL: Pengasas rangkaian taska dan dua pengusaha cawangannya, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan operasi tanpa perakuan pendaftaran yang sah pada Januari lalu.

Datin Nor Fadilah Alias, 36; Nurul Aina Zulkifli, 34; dan Nurkhairunnisa Badrillah, 32, yang juga orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa, lapor Berita Harian.

Pendakwaan dijalankan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed, Majistret Khairunnisak Hassni dan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, Nor Fadilah dan Nurul Aina didakwa bersama-sama menjalankan taman asuhan kanak-kanak (taska) tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Kesalahan dilakukan di Taman Danau Desa, Brickfields, di sini kira-kira jam 3.25 petang pada 9 Januari lalu.

Di mahkamah berasingan, Nor Fadilah turut didakwa atas pertuduhan serupa bersama-sama Nurkhairunnisa di sebuah taska di Jalan Alam Sutera, Cheras, di sini, pada jam 10.15 pagi 5 Februari lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Nor Fadilah juga didakwa atas pertuduhan sama yang dilakukan di sebuah taska di Medan Niaga Rampai, di sini pada 5 Februari lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuriwanina Ibrahim, Nurainizatul Farhana Zainal dan Hench Goh, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Syed Adam Al-Aqib Syed Mohammad Redza.

Mahkamah membenarkan Nor Fadilah diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, manakala Nurul Aina (RM2,500) dan Nurkhairunnisa (RM3,500).

Mahkamah menetapkan sebutan untuk serahan dokumen pada 15 Jun depan.

Pada Rabu lalu, Nor Fadilah bersama seorang pengurus sebuah taska dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, atas pertuduhan yang sama.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.