SHAH ALAM, 26 OGOS: Dato’ Seri Amirudin Shari menyambut baik perintah mahkamah yang membenarkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) digali semula.
Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya menyokong tindakan itu malah dizahirkan dari awal dengan menziarahi keluarga Syamsul Haris Shamsudin, 22, pada 15 Ogos lalu.
“Tidak ada masalah. Kita ikut perintah mahkamah. Kita sokong (dari awal) sebab itu kita ziarah keluarga sebelum ini,” katanya ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini.
Pagi tadi, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris Shamsudin, 22, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, digali semula.
Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memerintahkan proses berkenaan bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Pelajar jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber) meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 28 Julai dipercayai ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Johor.
Ketika menziarahi keluarga Allahyarham, Amirudin berharap siasatan menyeluruh dapat dijalankan berhubung kematian itu.
Beliau berkata pihaknya juga bersedia memberikan bantuan sepenuhnya kepada keluarga mangsa bagi memastikan keadilan ditegakkan.