SHAH ALAM, 26 Ogos: Sistem Geran Pusat Jagaan (GPJ) akan ditutup sementara bagi tujuan penyelenggaraan dan penambahbaikan sebelum dibuka semula pada 17 September hingga 14 Oktober ini.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, ia penting bagi memastikan kelancaran proses permohonan bantuan.
Selain itu, beliau berkata program Geran Pusat Jagaan akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan bagi memberi khidmat nasihat secara langsung kepada pemohon.
"Tujuan program ini adalah untuk membantu pemohon mendapatkan panduan lebih jelas berkaitan proses permohonan bantuan. Tarikh rasmi program itu akan dimaklumkan kemudian melalui makluman rasmi GPJ," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Seminar Kependudukan Negeri Selangor (SKNS) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Tambahnya, maklumat lanjut dan sebarang pengumuman terkini akan dikemaskini melalui platform rasmi GPJ.