Kes keganasan rumah tangga sebenarnya lebih tinggi dari data rasmi

24 Apr 2026, 1:00 AM
Kes keganasan rumah tangga sebenarnya lebih tinggi dari data rasmi

SHAH ALAM, 24 APRIL: Statistik rasmi keganasan rumah tangga dan gangguan seksual tidak menggambarkan situasi sebenar kerana dapatan kajian mendapati hanya sekitar 20 hingga 30 peratus direkodkan secara rasmi, kata EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.

"Dalam mana-mana kajian tentang jenayah, biasanya laporan dan statistik kita peroleh secara rasmi tidak menggambarkan data sebenar.

"Anggaran pakar jenayah menunjukkan hanya sekitar 20 hingga 30 peratus kes," katanya ketika ditemui di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini semalam.

Untuk rekod, menurut statisik rasmi, hanya dua atau tiga daripada 10 kes keganasan rumah tangga dilaporkan. Sebelum ini, sidang DNS turut dimaklumkan bahawa 503 kes aduan kes keganasan rumah tangga direkodkan di Selangor antara 2023 hingga 2025.

Menjelaskan perkara itu ketika ditemui selepas persidangan, Anfaal menjelaskan yang kekangan data serta ketiadaan mekanisme anggaran tepat menyebabkan usaha meningkatkan advokasi dan kesedaran menjadi keutamaan bagi memastikan mangsa tampil mendapatkan bantuan.

Beliau menjelaskan peningkatan laporan boleh berlaku apabila kempen kesedaran diperluas, termasuk dalam konteks aduan pelajar sekolah dan pendaftaran kanak-kanak autisme.

"Bila advokasi dipertingkatkan, orang lebih tahu hak mereka, tahu saluran bantuan dan mendapat sokongan daripada komuniti, maka laporan akan meningkat," katanya.

Anfaal berkata, situasi itu menunjukkan wujudnya fenomena 'under-reporting' dalam masyarakat, sekali gus menuntut pendekatan lebih proaktif bagi memperkukuh jaringan sokongan kepada mangsa.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan faktor ekonomi dan budaya patriarki antara punca utama keganasan rumah tangga, selain kemungkinan melibatkan pihak ketiga serta dinamika dalam institusi keluarga.

EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap ketika Mesyuarat pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang kelima Belas di Shah Alam pada 23 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Faktor ekonomi dan budaya patriarki memainkan peranan, selain kemungkinan faktor orang ketiga dan konflik dalam rumah tangga," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa mangsa keganasan bukan hanya melibatkan wanita, malah lelaki juga berdepan risiko walaupun pada kadar lebih rendah.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor melaksanakan kempen keganasan berasaskan gender (GBV) sejak 2021 bagi menghapuskan stigma terhadap mangsa lelaki.

"Kita perlu nyahstigma bahawa hanya wanita menjadi mangsa. Lelaki juga boleh diganasi dan mereka berhak mendapat perlindungan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebahagian kes melibatkan penderaan emosi seperti penggunaan kata-kata kasar dan isu berkaitan kesihatan mental, termasuk gangguan personaliti tertentu.

Selain itu, Anfaal berkata Kerajaan Negeri merancang menganjurkan forum perspektif gender pada Ogos depan, selain memperluas perbincangan bersama agensi agama dan kehakiman syariah.

Jelasnya, langkah itu bertujuan meneliti ruang penambahbaikan undang-undang keluarga Islam termasuk isu perceraian dan poligami, sejajar usaha melindungi institusi keluarga secara menyeluruh.

"Kita akan perhalusi sama ada terdapat peruntukan undang-undang yang perlu ditambah baik supaya dapat membela semua pihak, bukan sahaja wanita tetapi institusi keluarga," katanya.

Beliau turut menekankan keperluan menyelaras data antara agensi seperti polis, kebajikan dan mahkamah bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai punca serta corak kes keganasan rumah tangga di negeri ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.