ad

Selangor setuju cadangan bina sekolah menegak di kawasan penduduk padat

25 Ogos 2025, 7:13 AM
Selangor setuju cadangan bina sekolah menegak di kawasan penduduk padat
Selangor setuju cadangan bina sekolah menegak di kawasan penduduk padat

SHAH ALAM, 25 OGOS: Selangor menyokong pembinaan sekolah menegak seperti dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menampung keperluan pendidikan penduduk setempat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu boleh dilaksana khususnya di kawasan berkepadatan tinggi, malah kaedah tersebut banyak digunakan di negara maju.

"Secara asasnya sekolah menegak ini banyak digunakan di negeri maju dan saya percaya ia boleh digunakan tetapi perlu mengikut garis panduan disediakan khususnya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

"Namun, di Selangor sendiri memang dalam kebenaran merancang perlu sediakan sekolah seperti di Rumah Idaman Bukit Jelutong terdapat sekolah dan tadika yang jaraknya kurang dari 100 meter,"katanya ditemui pada majlis penyerahan bantuan awal persekolahan (BAP) kepada pelajar tingkatan enam di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri mencadangkan pembinaan sekolah menegak di kawasan Residensi Aman Madani, Bandar Sri Permaisuri bagi menampung keperluan pendidikan penduduk setempat.

Katanya, biarpun terdapat sekolah rendah berdekatan kapasiti yang terhad menuntut pembangunan sekolah baharu selari dengan pertambahan penduduk.

Dalam perkembangan lain, Amirudin menasihatan semua pihak tidak terus menghuku dan membuat kesimpulan mengikut prasangka berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.

"Untuk menghukum terus kes buli sampai mati kena tunggu polis siasat dan inkues juga telah diputuskan. Jangan cepat menghukum dan buat kesimpulan ikut prasangka.

"Contohnya kes Putra Heights, ada sangkaan tertentu... kalau ikut sentimen, kita akan hukum orang tidak bersalah. Tetapi, yang betul-betul salah wajar diambil tindakan,"katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.