SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai bantuan bagi membolehkan peniaga dan penjaja kecil di kawasan bandar dapat meneruskan operasi perniagaan.
EXCO pembasmi kemiskinan berkata setiap tahun sejumlah RM2 juta diperuntuk kepada program Blueprint Pembasmian Kemiskinan yang menawar bantuan kewangan bagi membantu usahawan kecil bandar.
V Papparaidu berkata penerima bantuan akan menerima peralatan berniaga antaranya mesin jahit, periuk nasi dan peti sejuk sebagai usaha menggalakkan mereka terus beroperasi.
“Program Blueprint sangat popular di mana kita akan beri peralatan dan dorongan kepada peniaga kawasan bandar dan luar bandar untuk tingkatkan lagi perniagaan mereka.
“Untuk program ini, mereka tidak perlu bayar balik kerana tidak libatkan wang ringgit. Kita cuma mahu bantu kerana kebanyakan mereka adalah golongan berpendatam rendah,” katanya kepada Media Selangor.

Papparaidu memaklumkan jawatankuasa tetap pemberdayaan usahawan turut menyediakan peruntukan sama menerusi Dana Usahawan Madani Selangor bagi membantu semua usahawan.
Sementara itu beliau menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama yang mengendali kawasan bandar untuk menyediakan lokasi perniagaan strategik kepada penjaja kecil.
“Ini akan bantu peniaga mendapat lebih ramai pelanggan. Lokasi turut memainkan peranan dalam memastikan golongan ini terus bertahan,” katanya.
Pada Jumaat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa PBT dan kerajaan negeri supaya tidak mengabaikan kepentingan peniaga kecil serta penjaja Melayu di bandar.
Perdana Menteri berkata kehebatan sebuah bandar raya bukan terletak kepada pembangunan sahaja tetapi bagaimana PBT meningkatkan kemudahan asas kepada warga peniaga kecil.