285 kuil disahkan berdaftar, Selangor teliti penyelesaian kuil tanpa kebenaran

24 Apr 2026, 4:33 AM
285 kuil disahkan berdaftar, Selangor teliti penyelesaian kuil tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 24 APRIL: Sebanyak 285 buah kuil berdaftar secara sah sama ada melalui warta dan persendirian di seluruh Selangor sehingga 16 April 2026.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS), V Papparaidu berkata sejumlah 433 kuil pula dibina tanpa kebenaran di tanah kerajaan manakala 255 di tanah milik dalam tempoh sama.

“Berdasarkan inventori pejabat daerah dan tanah di sembilan daerah hingga 16 April, daerah yang merekodkan pendaftaran kuil secara sah di Kuala Selangor sebanyak 103 diikuti Petaling (55), Klang (32), Hulu Selangor (25), Hulu Langat (22), Gombak (19), Kuala Langat (13), Sepang (10) dan Sabak Bernam (6).

“Untuk pembinaan kuil di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran, daerah Petaling merupakan tertinggi sebanyak 96 manakala Kuala Selangor (81), Gombak (57), Hulu Langat (55), Klang (45), Kuala Langat (36), Sepang (34), Hulu Selangor (29) dan tiada dibina di Sabak Bernam.

“Selain itu, daerah Kuala Selangor mencatatkan pembinaan kuil di atas tanah milik tanpa kebenaran tertinggi iaitu 126 selain Kuala Langat (38), Sepang (26), Hulu Selangor (22), Klang (20), Hulu Langat (12), Petaling (8), Sabak Bernam (2) dan Gombak (1),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning S. Preakas pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Papparidu memaklumkan Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa lot tanah yang dirizabkan bagi tujuan rumah ibadat selain Islam (RISI) di seluruh Selangor.

“Kerajaan Negeri sedang meneliti kesesuaian lot-lot tersebut dari segi perancangan, status tanah serta keperluan setempat, termasuk sebagai pilihan penempatan semula bagi rumah ibadat yang telah lama dibina tetapi tidak dapat diwartakan di tapak sedia ada.

“Pendekatan ini diambil bagi memastikan penyelesaian yang lebih tersusun, praktikal dan selaras dengan keperluan perundangan serta keharmonian masyarakat,” ujarnya.

Pada masa sama, Papparaidu menjelaskan permohonan pemberimilikan dan pewartaan perlu mematuhi peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

“Setiap permohonan akan dinilai secara menyeluruh oleh jabatan teknikal berkaitan dengan mengambil kira status tanah, zon guna tanah dan keperluan teknikal yang dikawalselia oleh agensi masing-masing, sebelum dipertimbang untuk kelulusan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

“Berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 26 Jun 2010, semua tapak rumah ibadat hanya akan dipertimbangkan untuk pewartaan dan dikawal selia oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Bagi permohonan pewartaan tapak rumah ibadat selain Islam, permohonan tersebut akan dibentangkan dahulu di mesyuarat LIMAS sebelum diangkat untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri,” jelasnya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.