ad

Mais salur RM19.4 juta bimbing 15,288 asnaf riqab tahun lalu

21 Ogos 2025, 1:05 AM
Mais salur RM19.4 juta bimbing 15,288 asnaf riqab tahun lalu
Mais salur RM19.4 juta bimbing 15,288 asnaf riqab tahun lalu

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan RM19.4 juta untuk membimbing 15,288 golongan asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan pada tahun lalu.

Agensi itu berkata peruntukan disalur melalui zakat asnaf riqab dan diagihkan menerusi sumbangan geran pemulihan kepada Rumah Pemulihan Riqab, Program Kursus dan Latihan Asnaf Riqab, Perkhidmatan Pembimbing Riqab serta Sumbangan Kebajikan Asnaf Riqab.

“Program pemulihan dan pencegahan dilaksanakan di tiga Rumah Pemulihan Majlis dan 26 Rumah Pemulihan Riqab di bawah Mais yang berperanan membantu pemulihan mereka yang dibelenggu masalah sosial dan akidah sehingga menghalang mereka menjalani kehidupan sempurna sebagai Islam.

“Bagi tahun ini, RM18.4 juta diperuntukkan dan sehingga Jun lalu, Mais menyantuni 2,160 golongan asnaf riqab di negeri ini melalui bimbingan serta bantuan kebajikan.

“Sehingga kini, 168 orang Pembimbing Al Riqab telah dilantik bagi membantu mereka kembali ke jalan benar dan diredai,” maklumnya menerusi kenyataan.

Menurutnya, asnaf riqab merujuk kepada individu yang terbelenggu dengan masalah sosial dan aqidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), orang Islam yang terpesong agama, terbelenggu dengan masalah syirik dan khurafat, serta lain-lain pecahan jenis asnaf Riqab mengikut fatwa pada 2012.

Pelancaran Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2025 disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Riqab Mais, Prof Dr Salasiah Hanin Hamjah dalam program Seminar Hijrah Merdeka dan Majlis Perasmian Kempen Bulan Pembebasan Riqab Tahun 2025 pada 20 Ogos 2025. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor

“Bagi memperkukuhkan inisiatif pemulihan serta memberi peluang umat Islam mendekati golongan asnaf riqab, Mais menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Al Riqab 2025 dari 1 hingga 31 Ogos 2025 bagi tujuan memberikan informasi terkini berkaitan pemulihan asnaf Al-Riqab di Selangor.

“Pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan sepanjang kempen berlangsung antaranya Forum Riqab, Ceramah Informasi Asnaf Riqab, Program Bimbingan Asnaf Riqab, Kaunter Penerangan Riqab, Ihtifal Amal Islami Rumah Pemulihan Riqab dan Seminar Riqab Negeri Selangor,” ujarnya.

Mais menegaskan, sebagai pihak berkuasa utama dalam pengurusan hal ehwal Islam di Selangor, ia bertanggungjawab melaksanakan program kesedaran dan pemulihan melibatkan masalah sosial serta akidah.

“Penganjuran kempen ini diharap dapat menyediakan ruang serta maklumat kepada umat Islam untuk lebih dekat mengenali asnaf riqab dan memahami cabaran yang dihadapi golongan itu, selain meningkatkan kesedaran terhadap isu akidah serta gejala sosial masa kini,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen itu boleh mengikuti platform media sosial Mais atau melayari laman sesawang rasmi di www.mais.gov.my.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.