Sultan Selangor titah umat Islam tunai zakat melalui saluran sah

24 Apr 2026, 2:14 PM
Sultan Selangor titah umat Islam tunai zakat melalui saluran sah

SHAH ALAM, 24 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menggesa umat Islam memahami kepentingan menunaikan zakat melalui saluran sah dan pengagihan secara telus kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah setiap negeri mempunyai sistem pungutan dan agihan tersendiri bagi memastikan kebajikan asnaf diurus dengan teratur.

Justeru, mana-mana pihak luar tidak sepatutnya melangkaui sempadan negeri untuk membuat kutipan zakat tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri lain.

“Sultan Selangor menyeru rakyat Selangor memahami dan menghayati inti pati khutbah Jumaat disampaikan oleh khatib di masjid seluruh negeri hari ini bertajuk Tunaikan Zakat Kepada Amil Bertauliah.

“Baginda mahu kita mengambil iktibar dan menginsafi bahawa zakat merupakan ibadah yang melibatkan harta serta mempunyai peranan besar dalam membantu golongan asnaf dan memakmurkan ekonomi umat Islam,” menurut hantaran itu.

Di Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan perkenan Sultan Sharafuddin telah mewakilkan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) untuk menguruskan segala hal berkaitan kutipan dan agihan zakat.

Menerusi hantaran itu, Baginda turut mengingatkan zakat yang dikutip dalam sebuah negeri hendaklah diagihkan kepada asnaf dalam negeri tersebut dan umat Islam mempunyai peranan besar mempertahankan hak asnaf daripada dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Jangan berdiam diri dan menyembunyikan perkara salah yang berlaku, bimbang kita tergolong dalam golongan yang membantu kemungkaran kerana menzalimi dan menafikan hak asnaf.

“Umat Islam perlu memahami bukan sahaja zakat, bahkan apa-apa bentuk kutipan dana awam yang melibatkan kepentingan umat Islam di Selangor hendaklah mendapat kebenaran pihak berautoriti,” menurut hantaran itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.