ad

Kebun komuniti jadi ruang 'healing' di tengah kesibukan bandar

17 Ogos 2025, 1:00 AM
Kebun komuniti jadi ruang 'healing' di tengah kesibukan bandar
Kebun komuniti jadi ruang 'healing' di tengah kesibukan bandar
Kebun komuniti jadi ruang 'healing' di tengah kesibukan bandar

OLEH MUHAMMAD HAZIQ ROSHIDI

Di sebalik deretan bangunan kediaman dan hiruk-pikuk jalan raya di Bangi Avenue 3, wujud sebuah kebun komuniti seluas 400 meter persegi yang kini menjadi tumpuan penduduk bukan sahaja untuk bercucuk tanam, tetapi juga sebagai ruang ‘healing’ melepaskan tekanan hidup di bandar.

Pengasas kebun komuniti tersebut, Muhammad Hafiz Shaari kebun yang mempunyai lebih 25 jenis tanaman ini menjadi tempat penduduk mencari ketenangan jiwa atau ‘healing’ daripada kesibukan hidup di bandar.

Muhammad Hafiz Shaari

“Saya sendiri bekerja di pejabat. Orang kata ‘healing’ ini betul ke tidak, tapi sebenarnya betul 100 peratus. Bila kita dapat luangkan masa di kebun, menanam dan menuai bersama jiran, ia memberi kepuasan dalaman dan mengeratkan hubungan sesama komuniti,”katanya yang bekerja sebagai Perunding IT kepada Media Selangor.

Jelasnya projek ini mendapat sokongan yang baik daripada penduduk walaupun masih di peringkat awal kerana baru dilancarkan pada Mei 2024.

Ahli persatuan berehat selepas mengutip hasil tanaman mereka Komuniti Persatuan KKBA3 Bangi Avenue 3 Bangi pada 26 Julai 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

"Kami punya konsep kebun ini ialah keberhasilan tanaman penduduk di mana kita tidak menanam hanya sekadar untuk pemandangan tapi lebih kepada tanaman untuk makanan,"

"Antara tanaman yang kami lakukan ialah sayur kailan, kangkung, sawi, pakcoy dan sayur bayam dan banyak lagi," katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Seramai 50 orang penduduk dari pelbagai latar belakang mengendalikan kebun komuniti ini secara bergilir melalui aktiviti menyiram, membersih dan menuai.

Sependapat denganya, seorang lagi sukarelawan, Cik Mariani Cik Daud, menjadikan kebun komuniti ini sebagai tempat bermanfaat untuk mengisi masa lapang yang sebelum ini hanya dihabiskan di rumah.

Cik Mariani Cik Daud

Beliau berkata, kebun tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan kesihatan fizikal, malah menghilangkan rasa bosan.

"'Di sini kami dapat mengeluarkan peluh, berjumpa dengan rakan-rakan dan yang paling penting, tidak perlu lagi ke kedai untuk membeli sayur-sayuran," katanya sewaktu ditemui sedang bercucuk tanam.

Menurutnya penduduk setempat turut memberikan sokongan padu kepada kebun komuniti ini, malah ada yang menempah sayur-sayuran lebih awal sebelum ia dijual.

Penduduk Kebun Komuniti Bangi Avenue 3 lebih memilih untuk berinteraksi dengan alam semula jadi dan menikmati gaya hidup yang lebih organik.

Hasil tanaman Persatuan KKBA3 Bangi Avenue 3 Bangi pada 26 Julai 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Fenomena kebun komuniti semakin berkembang di Selangor sejak kerajaan negeri menggalakkan program keterjaminan makanan dan kebun bandar di kawasan perumahan.

Pada 2025, terdapat lebih daripada 200 kebun komuniti yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri Selangor.

Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh keterjaminan makanan, mengurangkan kos sara hidup dan mengeratkan hubungan komuniti.”

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.