PUTRAJAYA, 12 OGOS: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bersama pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) akan melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor bagi meninjau isu kepadatan pelajar dalam masa terdekat.
Beliau berkata lawatan ke sekolah berkenaan akan dilakukan sama ada pada minggu depan atau hujung bulan ini.
“Saya akan bawa Ketua Pengarah Pendidikan (Dr Mohd Azam Ahmad) dan Ketua Setiausaha (Datuk Dr Aminuddin Hassim)," katanya di sini hari ini.
Lawatan itu susulan isu dibangkitkan seorang penjawat awam semasa sesi "Reformasi Satu Kemestian" Bersama KSN sempena setahun reformasi perkhidmatan awam, yang mendakwa kepadatan pelajar di sekolah anaknya yang mengandungi purata 45 hingga 47 orang dalam satu kelas menimbulkan ketidakselesaan dan menyebabkan guru mengalami tekanan mental akibat bebanan kerja.