ad

Pakar: Jangan abai aduan anak, tangani buli sebelum jejas kesihatan mental

9 Ogos 2025, 4:00 AM
Pakar: Jangan abai aduan anak, tangani buli sebelum jejas kesihatan mental
Pakar: Jangan abai aduan anak, tangani buli sebelum jejas kesihatan mental
Pakar: Jangan abai aduan anak, tangani buli sebelum jejas kesihatan mental
Pakar: Jangan abai aduan anak, tangani buli sebelum jejas kesihatan mental

SHAH ALAM, 9 OGOS: Setiap kali anak meluahkan rasa tertekan atau mengadu dibuli, sama ada secara bersemuka atau di media sosial, ia bukan sekadar rungutan biasa sebaliknya mungkin jeritan halus meminta pertolongan.

Pakar perunding psikiatri merangkap pengarah Pusat Kecemerlangan Klinikal Management and Science University menegaskan, sikap memandang ringan keluhan anak hanya akan merosakkan keyakinan diri mereka dan membuka ruang kepada masalah kesihatan mental berpanjangan.

Pakar Perunding Psikiatri dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Klinikal Management and Science University (MSU) Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi

“Buli siber contohnya, jauh lebih sukar dipadam berbanding buli fizikal. Ia hadir dalam dua bentuk iaitu serangan terbuka yang membuatkan mangsa rasa seluruh dunia memusuhi mereka dan pengasingan sosial atau ‘ghosting’, apabila mangsa sengaja diabaikan dalam kumpulan.

“Nampak seperti kecil, tetapi kesannya besar. Kami pernah menerima pesakit yang berasa hancur hanya kerana diasingkan rakan,” kata Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi kepada Media Selangor.

Beliau mengingatkan bahawa aduan daripada anak sebenarnya petanda masalah sudah berada di tahap serius, justeru memerlukan tindakan segera daripada ibu bapa dan guru.

“Kadang-kadang orang dewasa memperkecilkan isu ini, sedangkan bagi kanak-kanak ia masalah besar yang mengganggu emosi,” tegasnya.

Muhammad Najib turut melahirkan kebimbangan terhadap budaya ‘menghukum’ di media sosial tanpa menyemak fakta, seperti dalam kes tular membabitkan seorang remaja baru-baru ini, yang menambah luka kepada keluarga mangsa.

“Banyak yang terus membuat kesimpulan tanpa asas. Spekulasi dan komen melulu hanya memburukkan keadaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa mengenal pasti tanda awal tekanan mental anak, selain membina kesedaran tentang bahaya buli di rumah dan sekolah supaya anak berani melapor tanpa takut.

“Kita perlu melatih anak secara mental bahawa buli itu salah, dan perlu dilaporkan segera kepada guru. Memang sukar menghapuskan sepenuhnya, tetapi mengurangkan kekerapan adalah kemenangan besar,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pengguna media sosial supaya berfikir sebelum menaip.

“Setiap perkataan mampu menggores emosi dan mental orang lain, malah memberi kesan buruk kepada diri kita sendiri,” katanya penuh keprihatinan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.