SHAH ALAM, 8 OGOS: Hanya RM250,000. Itulah harga Rumah Idaman yang dibina di lokasi strategik selain dilengkapi televisyen, peti sejuk, pendingin hawa, kabinet dapur termasuk dua unit parkir.
Pembeli Mohammad Raheemie Arifin, 38, berkata inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan rumah dengan kelengkapan moden amat membantu meringankan beban beliau sekeluarga.
“Syukur, saya terpilih memiliki kediaman moden ini. Rumah ini dijual harga RM250,000, amat berbaloi apatah lagi lokasi kediaman yang strategik. Selain itu, banyak kemudahan disediakan bertaraf kondominium moden.
“Melihat banyak kemudahan seperti kolam renang dan gimnasium, memang teruja untuk masuk rumah nanti selepas ambil kunci,” katanya kepada pemberita.

Rumah mengikut spesifikasi yang ditetapkan Kerajaan Negeri itu dibangunkan pemaju Gagasan Nadi Cergas Bhd dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Bukit Jelutong kepada lapan pemilik di sini hari ini.
Amirudin dalam sidang media memberitahu sebanyak 1,260 unit siap sepenuhnya dibina yang turut menyediakan kemudahan seperti kolam renang, gelanggang futsal, gimnasium, bilik bacaan, sistem keselamatan dan taman atas bumbung.

Seorang lagi pembeli, Nadia Ismail, 35, bersyukur impian untuk memiliki rumah akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya memang mahu mendapatkan rumah ini yang lokasinya strategik dengan terus mendaftar bersama Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) sejak permohonan hari pertama dibuka.
“Seronok dan teruja kemudahan yang disedia sangat lengkap dengan landskap tersusun kemas serta cantik.
“Setiap unit rumah juga menawarkan kelengkapan seperti televisyen dan peti sejuk yang memang diperlukan jika kita mula-mula nak masuk rumah,” kongsinya.
