ad

Malaysia perlu lahir pakar seiring pembangunan tenaga nuklear

4 Ogos 2025, 10:53 AM
Malaysia perlu lahir pakar seiring pembangunan tenaga nuklear

SHAH ALAM, 4 OGOS: Sebarang komitmen Malaysia terhadap pembangunan tenaga nuklear perlu dilaksanakan seiring dengan usaha melahirkan pakar tempatan dalam bidang tersebut, tegas Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menurut beliau, meskipun tenaga nuklear dilihat sebagai antara sumber tenaga alternatif berpotensi untuk jangka panjang, kerajaan tidak boleh terburu-buru tanpa memastikan aspek pembangunan modal insan ditangani secara menyeluruh dan terancang.

“Bila komitmen terhadap tenaga nuklear semakin jelas, sudah tentu kita perlu susun dengan rapi keperluan melahirkan tenaga pakar yang mencukupi. Ini termasuk dari segi latihan, pendidikan dan juga kesinambungan kepakaran,” katanya ketika menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Akmal Nasrullah, beberapa universiti tempatan telah menawarkan kursus berkaitan teknologi nuklear namun pendekatan yang lebih strategik diperlukan bagi memastikan wujud ekosistem kepakaran yang mantap sebelum sebarang pelaksanaan berskala besar dibuat.

“Pembangunan tenaga perlu bergerak seiring dengan pembangunan tenaga manusia. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kepakaran luar semata-mata. Malah, kita mempunyai rakyat Malaysia yang kini bertugas di peringkat antarabangsa dalam bidang ini, yang berpotensi menyumbang semula kepada negara apabila tiba waktunya,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan Malaysia kini masih di peringkat eksplorasi bagi menilai pilihan teknologi dan piawaian antarabangsa yang sesuai untuk diguna pakai, serta menjalin kerjasama dengan negara yang lebih berpengalaman dalam bidang tenaga nuklear.

Beliau menegaskan aspek keselamatan, kemampanan dan kesiapsiagaan sumber manusia menjadi keutamaan sebelum kerajaan membuat keputusan.

Semalam Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata Malaysia tidak memerlukan persetujuan negara serantau untuk memulakan program tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baharu kerana negara seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Vietnam juga sedang meneliti untuk menggunakan nuklear sebagai sebahagian pelan tenaga masa depan mereka.

Bagaimanapun, Fadillah berkata kerajaan memerlukan pandangan masyarakat umum negara ini dalam penilaian penggunaan tenaga berkenaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.