Krisis tenaga dunia buka peluang Malaysia perkukuh daya tahan ekonomi – pakar

23 Apr 2026, 4:01 AM
Krisis tenaga dunia buka peluang Malaysia perkukuh daya tahan ekonomi – pakar

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Malaysia terus memperkukuh daya tahan ekonominya dalam berdepan ketidaktentuan tenaga global, dengan krisis semasa dilihat sebagai pemangkin kepada penambahbaikan dasar, peningkatan kecekapan, serta peralihan kepada sumber tenaga yang lebih mampan.

Pensyarah Kanan Jabatan Perakaunan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Siti Zaidah Turmin berkata perkembangan geopolitik di kawasan strategik seperti Selat Hormuz, yang menjadi laluan utama bekalan minyak ke Asia, seterusnya memberi kesan kepada negara-negara di rantau ini termasuk Malaysia.

Beliau berkata sebarang gangguan di laluan tersebut boleh meningkatkan kos logistik, pengangkutan dan pengeluaran, namun situasi itu juga membuka ruang kepada negara untuk memperkukuh pengurusan bekalan serta meningkatkan kecekapan ekonomi secara keseluruhan.

“Apabila kos meningkat di peringkat global, ia memberi kesan rantaian kepada ekonomi domestik. Namun, ini juga peluang untuk kita menilai semula kecekapan operasi dan memperkukuh daya tahan sistem ekonomi,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Menurut Siti Zaidah, walaupun Malaysia merupakan pengeluar minyak mentah, negara masih mengimport petroleum bagi memenuhi permintaan domestik serta akibat kekangan kapasiti penapisan, sekali gus mencerminkan kepentingan strategi kepelbagaian sumber tenaga bagi jangka panjang.

Sehubungan itu, krisis tenaga global dilihat sebagai pemangkin kepada usaha mempercepat peralihan kepada sumber tenaga alternatif seperti solar dan biogas, memandangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang harganya ditentukan pasaran antarabangsa boleh memberi kesan kepada kestabilan kos dalam negara.

Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan subsidi sedia ada masih memainkan peranan penting dalam melindungi rakyat daripada kejutan harga dalam jangka pendek, namun penambahbaikan ke arah mekanisme yang lebih bersasar dapat membantu memastikan keberkesanan dan kemampanan fiskal negara untuk jangka panjang.

Selain itu, di peringkat isi rumah, Siti Zaidah berkata penyesuaian gaya hidup seperti pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin, amalan berjimat serta penggunaan tenaga secara cekap mampu membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup dan memperkukuh kedudukan kewangan individu.

Beliau berkata bahawa langkah membina simpanan kecemasan serta mengurangkan pembaziran juga penting sebagai perlindungan kewangan, sekali gus meningkatkan keupayaan rakyat untuk berdepan ketidaktentuan ekonomi pada masa hadapan.

“Walaupun cabaran global berada di luar kawalan kita, tindakan di peringkat domestik sama ada oleh kerajaan, perniagaan mahupun rakyat mampu memainkan peranan penting dalam memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan,” katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.