SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan Selangor terus komited memperkukuh sekuriti makanan negara dengan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik melibatkan sektor pertanian moden dan pembangunan ekonomi luar bandar.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara projek yang menjadi tumpuan ialah penghasilan Melon Selangor di Felda Sungai Tengi Selatan yang kini menjadi contoh kejayaan pertanian bernilai tinggi menggunakan sistem hidro-fertigasi moden.
“Dalam lawatan kerja saya ke Sabah hujung minggu ini, saya turut menghadiri Perasmian Penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang menghimpunkan pemain utama sektor agromakanan negara dan buka peluang kerjasama antara negeri.
“Sektor agromakanan akan dijadikan teras strategik pembangunan negeri bukan sahaja untuk menjamin kelangsungan bekalan makanan tetapi juga untuk mewujudkan ekonomi luar bandar yang mampan, moden dan berdaya saing.
"Justeru, dalam usaha merancakkan pembangunan kawasan luar bandar, Selangor sedang membangunkan Sabak Bernam Development Area (SABDA) dan Selangor Integrated Landing Port (SILP) sebagai zon pertumbuhan baharu,” katanya di Facebook.
Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri turut menyasarkan pelaburan sebanyak RM1.9 bilion dan dijangka membuka 3,600 peluang pekerjaan melalui pembangunan projek SABDA dan SILP.
Tambah beliau, Kerajaan Selangor juga menerajui penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dalam penanaman padi di Sekinchan yang terbukti meningkatkan hasil tuaian dan kecekapan operasi di lapangan.
Katanya, pusat simpanan makanan pertama di Malaysia, Gudang Makanan Selangor (GMS) turut dibangunkan dengan menempatkan beras, daging beku dan makanan asas lain bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga makanan kekal stabil.