ad

Kurikulum khusus urus emosi di sekolah, cegah tingkah laku agresif pelajar

3 Ogos 2025, 3:32 AM
Kurikulum khusus urus emosi di sekolah, cegah tingkah laku agresif pelajar

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kurikulum khusus mengenai pengurusan emosi perlu ditekankan di peringkat sekolah untuk mencegah tingkah laku agresif dalam kalangan pelajar.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata kurikulum itu merangkumi kemahiran sosial pelajar, penerapan nilai empati dan penyelesaian masalah yang menjadi asas pembentukan individu beretika, selaras prinsip kelima rukun negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Jelas beliau, pengurusan emosi yang baik dapat membantu individu mengenal pasti, memahami dan mengawal perasaan mereka dalam pelbagai situasi.

“Pelajar yang kurang kemahiran dalam pengurusan emosi cenderung meluahkan perasaan mereka melalui tingkah laku agresif atau tidak sesuai.

“Oleh itu, pengenalan pendidikan khusus di sekolah mengenai perkara ini boleh membentuk pelajar yang lebih bijak mengawal diri dan lebih peka terhadap kesan tindakan mereka terhadap orang lain,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas mengenai beberapa insiden melibatkan keganasan tingkah laku dalam kalangan pelajar sekolah kebelakangan ini.

Beliau berkata kajian mendapati tingkah laku agresif pelajar berpunca beberapa faktor termasuk latar belakang keluarga, pengaruh rakan sebaya, tekanan akademik serta pendedahan unsur keganasan dalam media atau persekitaran sosial.

“Keadaan keluarga yang tidak stabil seperti alami kesusahan kewangan, ketidakhadiran ibu bapa atau pengabaian emosi boleh memberi impak besar terhadap perkembangan psikologi seseorang pelajar.

“Kanak-kanak yang tidak mendapat sokongan emosi atau kasih sayang yang mencukupi boleh menghadapi kesukaran mengawal perasaan marah yang akhirnya diluahkan dalam tingkah laku agresif.

“Jika pelajar terdedah kepada tingkah laku agresif dalam media atau melihat keganasan dalam keluarga atau komuniti mereka, mereka mungkin menganggap tingkah laku tersebut sebagai cara yang sah untuk menyelesaikan konflik,” katanya.

Tegas beliau, sekolah dan keluarga memainkan peranan penting dalam membendung tingkah laku itu.

“Keluarga perlu memberi perhatian kepada kesejahteraan emosi anak-anak dan menyediakan sokongan yang diperlukan, manakala sekolah menyediakan persekitaran selamat dan mengamalkan dasar yang menekankan keadilan, kesabaran dan penghargaan terhadap pelajar,” katanya.

Menurutnya, antara pendekatan disarankan termasuk pelaksanaan Program Pendidikan Sosial dan Emosi (SEL), kaunseling, aktiviti pengurusan stres seperti latihan pernafasan serta program kesedaran dan empati di sekolah.

“Walaupun pendekatan ‘zero tolerance’ terhadap keganasan perlu, ia harus disertai dengan langkah pemulihan seperti sesi bimbingan atau terapi agar pelajar terbabit diberi peluang memperbaiki diri.

“Pendidikan dan bimbingan yang konsisten mampu membentuk pelajar yang menghormati guru dan rakan serta tahu mengurus tekanan dengan cara yang lebih matang,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.