ADN Seri Kembangan junjung titah Sultan, pegang prinsip Rukun Negara

20 Mei 2026, 5:22 AM
ADN Seri Kembangan junjung titah Sultan, pegang prinsip Rukun Negara

SHAH ALAM, 20 MEI: Wakil rakyat Seri Kembangan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta menegaskan komitmennya berpegang kepada Rukun Negara dalam melaksanakan tugas.

Menurut Wong Siew Ki, prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi dan asas utamanya dalam memikul amanah sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) serta berkhidmat untuk seluruh rakyat.

"Patik menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

"Sebagai wakil rakyat, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi, dan asas utama patik dalam memikul amanah serta berkhidmat untuk seluruh rakyat," katanya di Facebook.

Beliau turut menegaskan akan sentiasa mematuhi prinsip-prinsip berkenaan dalam setiap tindakan demi mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia.

Semalam, Sultan Selangor menyeru rakyat khususnya generasi baharu ke Dataran Selangor untuk membaca dan menghayati prinsip asas Rukun Negara yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat.

Baginda turut menyeru semua wakil rakyat Selangor ke dataran berkenaan dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen.

Pada masa sama, bekas EXCO Selangor Ronnie Liu menyatakan sokongan terhadap peringatan Sultan Sharafuddin kepada wakil rakyat berhubung kepentingan menegakkan Rukun Negara dan nilai-nilai kebangsaan.

“Pada pandangan patik, titah Baginda supaya ahli politik hadir ke Dataran Selangor sebanyak dua kali sebulan untuk mendekati rakyat dan menghayati semula Rukun Negara bukan sekadar satu aktiviti simbolik atau formaliti semata-mata.

“Sebaliknya, ia membawa makna yang jauh lebih mendalam, iaitu mengingatkan semua ahli politik supaya kembalij kepada asas pembinaan negara,” tulisnya di Facebook.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.