SHAH ALAM, 8 JULAI: Lebih 700 orang wanita muda telah menyertai program kepimpinan dianjurkan Kerajaan Negeri sejak 2018 hingga Jun 2025, kata EXCO wanita.
Anfaal Saari berkata program seperti Akademi Kepimpinan Wanita, Women2Win dan Sidang Wanita Negeri Selangor bertujuan membina kemahiran kepimpinan, pengurusan, komunikasi dan pembangunan dasar serta polisi bagi melahirkan pemimpin wanita yang berdaya saing.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memperkasa golongan wanita termasuk wanita muda, selaras dengan Matlamat 4 Dasar & Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026.
“Semua program yang dianjurkan menekankan penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan wanita dalam kehidupan awam dan politik,” katanya pada Sidang Dewan Negeri (DNS) di sini hari ini.
Anfaal menambah pentadbiran turut melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Projek Pengarusperdanaan Gender (GM) dan Belanjawan Responsif Gender (BRG) untuk memperkukuh peranan wanita dalam proses membuat keputusan dasar.
“Selain itu, kerjasama strategik dengan menandatangani Memorandum Persefahaman bersama pihak Westminster Foundation for Democracy dari United Kingdom bagi memperkukuh kepimpinan wanita dalam landskap demokrasi Malaysia pada 21 Jun lepas.
“Melalui program Gender Observatory di bawah Women Political Leadership Programme (Fasa II), inisiatif ini merangkumi dialog perkongsian data, pemantauan dasar, penyelidikan, pembentangan awam dan advokasi dasar yang lebih inklusif gender selari dengan Dasar Wanita Selangor,” ujarnya.