Oleh Chua Chee Hwai
SHAH ALAM, 19 JUN: Gangguan monyet liar di Bandar Puteri, Puchong semakin membimbangkan apabila haiwan itu dilapor kerap menceroboh kediaman penduduk dan kawasan sekolah.
Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Lee Jen Uyin menjelaskan gangguan monyet liar berpunca daripada pembangunan yang menjejaskan habitat semula jadi hingga memaksa haiwan berkenaan berkeliaran mencari makanan.
[caption id="attachment_706261" align="aligncenter" width="720"] Ahli Majlis MBSJ Lee Jen Uyin bercakap kepada media selepas meninjau lokasi gangguan monyet liar di Bandar Puteri, Puchong, Subang Jaya pada 18 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kami menerima banyak aduan sejak hujung tahun lalu, khususnya daripada penduduk di Bandar Puteri 6, 11 dan 12 serta pangsapuri Casa Puteri dan Bayu Puteri.
“Setakat ini, kira-kira 20 rumah telah diganggu. Monyet masuk ke dalam rumah, menyelongkar dapur dan meninggalkan keadaan berselerak seperti disamun,” katanya kepada Media Selangor.
Lebih membimbangkan, katanya, kumpulan monyet itu turut berkeliaran di kawasan sekolah hingga mencederakan seorang guru yang terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.
Menurutnya, walaupun Perhilitan dan MBSJ telah memasang perangkap di beberapa lokasi panas, jumlah monyet yang terlalu banyak menyukarkan kawalan secara menyeluruh.
[caption id="attachment_706260" align="aligncenter" width="812"] Sekumpulan monyet liar yang berkeliaran mencari makanan selepas habitat asal terganggu akibat pembangunan pesat dirakam ketika tinjauan di sekitar Bandar Puteri, Puchong pada 18 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Masalah ini diburukkan lagi apabila masih ramai orang awam berhenti di bahu jalan, terutama di sekitar Persiaran Puteri dan kawasan bukit hijau, semata-mata untuk memberi makanan kepada monyet.
“Tindakan ini bukan sahaja menggalakkan kehadiran haiwan liar, malah boleh mencetuskan kemalangan dan kesesakan lalu lintas. Lebih menyedihkan, papan tanda larangan memberi makan turut didapati hilang, dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab,” jelasnya.
Jen Uyin menegaskan pentingnya kesedaran masyarakat untuk tidak terus memanjakan haiwan liar kerana ia hanya akan menambah konflik manusia-hidupan liar.
“Jika dibiarkan berlarutan, keadaan ini boleh menjadi tidak terkawal. Kita perlu bertindak segera sebelum berlaku kejadian lebih serius,” katanya.