Tanah Hutan Simpan Ayer Hitam tidak selamat dibangunkan, negeri perjelas dakwaan tidak berasas

24 Apr 2026, 1:16 PM
Tanah Hutan Simpan Ayer Hitam tidak selamat dibangunkan, negeri perjelas dakwaan tidak berasas
Tanah Hutan Simpan Ayer Hitam tidak selamat dibangunkan, negeri perjelas dakwaan tidak berasas
Tanah Hutan Simpan Ayer Hitam tidak selamat dibangunkan, negeri perjelas dakwaan tidak berasas

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menegaskan tanah di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong tidak selamat untuk dibangunkan sama ada bagi tujuan komersial mahupun perumahan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat kerana kawasan berkenaan berada pada topografi cerun kelas tiga dan empat, seperti yang disahkan Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata dalam pertemuan bersama wakil persatuan penduduk, pendirian Kerajaan Negeri berhubung isu tersebut sudah dijelaskan, selain memperbetulkan tiga tuduhan tidak berasas yang disebarkan bagi tujuan politik.

"Pertama, tanah seluas 168 ekar yang dirujuk bukan merupakan kawasan Hutan Simpan Kekal. Ini kerana tanah tersebut telah dinyahwarta pada 1926, 100 tahun lalu.

"Kedua, berhubung isu pembangunan pula, pentadbiran ini tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan di kawasan itu sebaliknya pada 1996 Kerajaan Negeri ketika itu meluluskan pemberimilikan tanah kerajaan 168 ekar kepada dua syarikat tetapi permohonan kebenaran merancang oleh pemaju ditolak MPSJ pada 2003 kerana 75 peratus kawasan itu dikategorikan sebagai cerun kelas tiga dan empat, iaitu cerun melebihi 25 darjah dan tidak sesuai untuk dibangunkan.

"Namun, Kerajaan Negeri pada 18 Ogos 2010 memutuskan supaya projek ini dibatalkan dan menarik semula pemberimilikan tanah. Susulan itu, pemaju terbabit memfailkan tindakan mahkamah terhadap MPSJ dan Kerajaan Negeri namun keputusan berpihak pada MPSJ," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata isu ketiga melibatkan dakwaan bahawa tanah berkenaan dijual di bawah harga pasaran, iaitu RM13.80 sekaki persegi bersamaan RM101 juta.

Jelasnya, selepas keputusan membatalkan projek perumahan pada 2012, tanah tersebut dicadangkan untuk dijual melalui tender terbuka.

"Seorang juruperunding hartanah telah dilantik bagi membuat penilaian dan nilai yang dimuktamadkan ialah RM13.02 sekaki persegi atau RM95.3 juta secara keseluruhan.

"Tiga syarikat terlibat dalam proses tender terbuka dan keputusan diambil untuk menjual tanah tersebut pada harga RM101 juta, iaitu kadar 5.90 peratus melebihi harga penilaian.

"Justeru, deposit sahaja dibayar semasa proses mahkamah, manakala bayaran penuh diselesaikan secara berfasa hingga 2020 berdasarkan Perjanjian Jual Beli 2012," katanya yang menerima kunjungan wakil penduduk dan 14 persatuan penduduk Puchong hari ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung status tanah berkenaan.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han.

Dalam pada itu, Amirudin berkata penduduk turut mencadangkan laluan pendakian ke Hutan Simpan Ayer Hitam dikekalkan bagi manfaat komuniti pendaki di Puchong.

"Permohonan ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta dirunding bersama pemilik tanah supaya keperluan riadah dan rekreasi komuniti setempat terus dipelihara," katanya.

Pada 22 November tahun lalu, sebuah portal berita melaporkan bantahan lebih 700 penduduk Puchong berhubung cadangan projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam, melibatkan kira-kira 68.411 hektar tanah.

Mereka menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan kesesakan lalu lintas, risiko alam sekitar serta kehilangan kawasan hijau di Puchong yang kini semakin padat dengan pembangunan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.