ad
BERITA UTAMA

Guru 120 sekolah di Selangor dilatih kemahiran masa depan

11 Jun 2025, 4:00 PM
Guru 120 sekolah di Selangor dilatih kemahiran masa depan
Guru 120 sekolah di Selangor dilatih kemahiran masa depan

SHAH ALAM, 11 JUN: Guru dari 120 sekolah di Selangor akan dilatih dengan kemahiran bersifat masa depan menerusi program Advancing Future Skills for All (FS4A) Selangor Scale-Up.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 13,000 pelajar untuk berkembang dalam era digital.

"Pelaksanaan akan bermula di sekolah dalam daerah Gombak, Petaling Utama, Petaling Perdana dan Klang, melalui tiga fasa bermula Jun hingga September.

"Tumpuan utama adalah melatih guru Sains Komputer dan Reka Bentuk dan Teknologi serta pegawai pendidikan daerah untuk memimpin bengkel digital secara rakan-ke-rakan, khususnya di komuniti yang kurang mendapat akses," katanya menerusi Facebook.

Amirudin menjelaskan, sebanyak 12 sekolah pemangkin FS4A akan dipilih untuk menerima latihan dan sokongan yang lebih mendalam serta bersifat peribadi.

"Saya percaya Selangor mempunyai potensi untuk menjadi peneraju dalam pendidikan digital di mana setiap anak berpeluang memperoleh kemahiran bagi menghadapi masa depan.

"Inisiatif ini membuktikan tiada yang mustahil apabila kita padankan visi dengan tindakan selain sentiasa meletakkan rakyat nadi kepada kemajuan.

"Insya-Allah, kita akan membina sebuah Selangor yang bukan sahaja pintar dan saling berhubung, tetapi juga inklusif, berdaya upaya dan bersedia menghadapi segala cabaran mendatang," katanya.

[caption id="attachment_705204" align="alignnone" width="1021"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta program Advancing Future Skills for All (FS4A) Selangor Scale-Up di CelcomDigi Hub pada 11 Jun 2025. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]

Terdahulu, Amirudin melancarkan program FS4A Selangor Scale-Up di CelcomDigi Hub yang merupakan satu langkah penting ke arah membina negeri yang lebih inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.

Sejajar dengan Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035, program itu turut disokong oleh Google dan diketuai oleh ARUS Academy, Kementerian Pendidikan Malaysia, UNICEF, MDEC, dan CelcomDigi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.