SHAH ALAM, 5 MEI: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas motosikal dinaiki bersama rakan tergelincir ke laut di dermaga Institut Latihan Pengangkutan Laut (MATRAIN), Pelabuhan Klang dekat sini, Sabtu lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata lelaki tempatan berusia 29 tahun itu ditemukan 8.17 pagi ini, setelah dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
“Dalam kejadian dua hari lalu, mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an diselamatkan orang awam namun seorang lagi tidak dijumpai dan dikhuatiri lemas. Usaha pencarian diteruskan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Pelabuhan Klang.
“Komander operasi melaporkan mangsa dijumpai oleh anggota PPDA hari ini, pada jarak 200 meter dari tempat mangsa jatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dengan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
- BERNAMA