GOMBAK, 16 MAC: Sejumlah RM15,250 diperuntuk bagi sumbangan Bakul Rahmah dan duit raya kepada ibu tunggal, anak yatim dan anak istimewa sekitar Selangor.
Sumbangan Kerajaan Negeri menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) berupa barangan makanan asas itu disampaikan EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari yang memanfaatkan 255 ibu tunggal.
Selain itu, 50 anak yatim dan anak istimewa menerima sumbangan duit raya pada program sempena sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, malam ini.
[caption id="attachment_691835" align="alignleft" width="348"] Norhaini Musa[/caption]
Ibu tunggal, Norhaini Musa, 45, berkata bantuan itu membantu meringankan perbelanjaan bulanannya yang menyara enam anak, terutama persiapan menyambut Aidilfitri.
“Selepas kematian suami, memang terasa sedikit bebanan sara hidup dan sumbangan hari ini sangat-sangat membantu meringankan beban saya terutama untuk persiapan hari raya,” katanya.
[caption id="attachment_691834" align="alignright" width="345"] Zaiton Hassan[/caption]
Bagi suri rumah, Zaiton Hassan, 56, barangan keperluan asas yang diterima menerusi Bakul Rahmah itu membantu persiapan kelengkapan Aidilfitri nanti.
“Dengan kos sara hidup sekarang, memang membantu barangan yang diterima hari ini lebih-lebih lagi untuk persiapan menyambut hari raya,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 500 individu kurang berkemampuan hadir pada sambutan berkenaan yang diadakan bagi menghargai peranan wanita dalam pembangunan negeri.