ad
AGENDA

1,754 jururawat berhenti sejak lima tahun lalu, 14,771 jawatan belum diisi

3 Mac 2025, 6:02 AM
1,754 jururawat berhenti sejak lima tahun lalu, 14,771 jawatan belum diisi
1,754 jururawat berhenti sejak lima tahun lalu, 14,771 jawatan belum diisi

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Penempatan sebahagian jururawat yang tidak dihantar bertugas ke negeri asal adalah antara faktor mereka memilih meninggalkan perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang berkata situasi itu juga berlaku apabila jururawat berkenaan beranggapan tawaran diberikan tidak menepati cita rasa mereka.

“Sebagai contoh kebanyakan beranggapan apabila kerja kerajaan jadi jururawat, kebanyakan ingin ditempatkan di kampung sendiri, contoh negeri popular Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun kita juga berhadapan masalah kekurangan jururawat seperti di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Selangor,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berhubung beban tugas jururawat yang menyebabkan mereka berhenti kerja.

Lukanisman berkata situasi berkenaan memberikan cabaran kepada Kementerian Kesihatan, memandangkan penempatan dibuat khusus bagi menampung keperluan negeri yang memerlukan.

[caption id="attachment_633800" align="alignleft" width="500"] Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada 18 Mac 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Beliau berkata seramai 1,754 jururawat beralih dan memilih untuk meninggalkan KKM sepanjang lima tahun lalu, dengan 27.98 peratus daripadanya atas faktor masalah peribadi.

Menjawab soalan berhubung kekosongan 14,771 perjawatan yang tidak diisi di Kementerian Kesihatan sehingga 31 Disember lalu, Lukanisman berkata kekosongan ini bukanlah berlaku di fasiliti semasa.

“Ini ialah kekosongan diwujudkan bagi fasiliti baharu, contohnya projek (kesihatan) yang mencapai 85 peratus siap, kita akan memulakan 'exercise' untuk memohon perjawatan berkenaan,” katanya.

Menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung peratus perjawatan jururawat yang telah diisi, Lukanisman berkata secara keseluruhannya pengisian jururawat di KKM telah mencapai 88 peratus berbanding 79,814 perjawatan jururawat di KKM.

Beliau berkata sehingga 31 Disember lalu, seramai 70,229 jururawat berkhidmat di KKM yang terdiri daripada 69,114 anggota lantikan tetap dan 821 lantikan kontrak interim.

Lukanisman berkata secara keseluruhannya pengisian jururawat di KKM meliputi hospital, Klinik Kesihatan, Institusi Perubatan, Institut Latihan KKM dan Ibu Pejabat Kesihatan KKM, telah mencapai 88 peratus berbanding 79,814 perjawatan jururawat.

Beliau juga berkata jumlah jururawat yang berhenti berkhidmat dengan KKM tahun lalu ialah 582 orang dengan alasan ingin bekerja di sektor swasta, isu penempatan, mengikut pasangan, waktu bekerja syif dan masalah kesihatan pegawai atau keluarga.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.