SHAH ALAM, 19 FEB: Tourism Selangor menandatangani memorandum kolaborasi bersama empat syarikat terkemuka bagi menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Memorandum dimeterai bersama Sony Malaysia, Batik Air, GL Play by Gamuda Land dan Alpha IVF & Women Specialist di Wisma Annex di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama itu dijangka memberi dampak positif terhadap kempen TMS2025 sekali gus mencapai sasaran kehadiran lapan juta pelancong.
[caption id="attachment_687781" align="aligncenter" width="812"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media selepas perasmian Pameran Tahun Melawat Selangor 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 Februari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita ada lebih 60 program yang sudah dirancang yang akan memenuhi sepanjang tahun dan menjadi tarikan utama kepada pelancong pada TM2025.
“Kadar biasa kehadiran pelancong ke Selangor adalah lima hingga enam juta, jadi saya jangka pertambahan itu boleh dicapai dan menjadi permulaan yang baik untuk Tahun Melawat Malaysia tahun depan,” katanya pada sidang media.
Hadir sama EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan Mat Yusop.
[caption id="attachment_687780" align="aligncenter" width="792"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim menampal pelekat rasmi Tahun Melawat Selangor (TMS2025) pada kenderaan roadshow ketika Pameran TMS2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 Februari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam majlis sama, Amirudin turut menyaksikan gimik promosi peletakan pelekat rasmi TMS2025 pada kenderaan pacuan empat roda Roadshow TMS2025.
Beliau turut menyempurnakan penyerahan peruntukan RM200,000 bawah Geran Persatuan Pelancongan kepada 20 persatuan pelancongan dan pengiktirafan produk pelancongan kepada 21 penerima.
Antara penerima geran berkenaan adalah Persatuan Hotel Budget Malaysia, Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Selangor, Persatuan Pemandu Pelancong Selangor, dan Persatuan Homestay Selangor.
Manakala, pengiktirafan produk pelancongan diberikan kepada beberapa pengusaha antaranya Sky Mirror, Farm In The City, Zoo Negara, Muzium Coklat, Sunway Lagoon, Splash Mania dan Jump Street Asia.
[caption id="attachment_687779" align="aligncenter" width="815"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima Geran Persatuan Pelancongan ketika pelancaran Pameran Tahun Melawat Selangor 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 19 Februari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]